ljazah Kehormat Doktor Kerajaan dan Politik (2006) YBhg. (Dr) Nelson Rolihlahla Mandela
Istiadat Konvokesyen ke 65 (2006)

Nelson Rolihlahla Mandela dilahirkan di sebuah perkampungan kecil di Mvezo, Qunu, berdekatan Umtata pada 18 Julai 1918. Ayah beliau ialah Gadla Henry Mphakanyiswa dan ibu beliau ialah Nosekeni Fanny. Ayahnya, yang juga dikenali sebagai Henry Mgadla Mandela, merupakan Ketua Ahli Majlis kepada Pemangku Ketua Tertinggi Thembuland, David Dalindyebo. Apabila ayahnya meninggal dunia, Mandela menjadi anak jagaan David dan telah dilatih untuk menjadi ketua.

Mandela menamatkan pelajaran matrikulasi di Healdtown Methodist Boarding School dan kemudian mendapat Ijazah Sarjana Muda di Fort Hare. Sebagai seorang ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (SRC), beliau telah menyertai mogokan pelajar dan dipecat bersama dengan Oliver Tambo pada 1940. Beliau menamatkan pengajian ijazahnya secara jarak jauh dari Johannesburg, mengikuti latihan peguamcara dan mendaftarkan diri untuk LLB di University Witwatersrand. Pada tahun 1944, beliau membantu mengasaskan African National Congress (ANC) Youth League, di mana "Program Tindakan" mereka kemudiannya diguna pakai oleh ANC pada 1949.

Mandela telah dilantik sebagai Volunteer-in-Chief dalam Defiance Campaign pada tahun 1952. Beliau telah menjelajah ke seluruh negara bagi mengadakan penentangan terhadap diskriminasi perundangan. Dalam salah satu kempen itu, beliau telah dijatuhkan hukuman tertangguh disebabkan penglibatan beliau. Tidak lama kemudian, beliau telah diharamkan keluar dari Johannesburg selama enam bulan. Sepanjang tempoh itu beliau telah merancang "M Plan" di mana cawangan ANC berpecah menjadi gerakan bawah tanah.

Pada tahun yang sama, Mandela dan Tambo telah membuka firma bantuan guaman orang kulit hitam yang pertama di negaranya. Kemudiannya beliau dilantik sebagai Presiden Transvaal dan juga Timbalan Presiden Kebangsaan dalam ANC. Rayuan oleh Transvaal Law Society untuk melucutkan jawatan Mandela sebagai peguam telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

Pada tahun 1950-an, selepas dipaksa meletakkan jawatan dalam ANC secara rasmi akibat perintah pengharaman yang berterusan, Mandela merasakan bahawa Polisi Bantustan merupakan satu penipuan politik kerana wujudnya penindasan politik, penganiayaan polis dan pemindahan beramai-ramai. Selepas pertengahan dekad tersebut, beliau merupakan salah seorang yang didakwa dalam Pembicaraan Pengkhianatan dan telah membela diri bersama Duma Nokwe.

Apabila ANC diharamkan selepas peristiwa pembunuhan beramai-ramai Sharpeville pada tahun 1960, beliau telah ditahan oleh polis sehingga tahun 1961. Mandela mengetuai kempen gerakan bawah tanah serta menubuhkan konvensyen nasional baru. Umkhonto we Sizwe (MK), sayap ketenteraan ANC ditubuhkan pada tahun yang sama. Di bawah kepimpinannya, MK melancarkan kempen memusnahkan pangkalan kerajaan dan ekonomi.

Pada tahun 1962, Mandela berpindah ke Algeria untuk menjalani latihan tentera dan merancang latihan bagi anggota MK lain. Sekembalinya, beliau ditahan atas alasan meninggalkan negara tanpa izin serta didapati menghasut untuk menjatuhkan kerajaan. Beliau membela diri dan pada November 1962, didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman penjara lima tahun. Semasa dalam tahanan, beliau sekali lagi dituduh mensabotaj dalam Pembicaraan Rivonia dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Satu dekad sebelum dipenjarakan, Mandela telah menentang Pendidikan Bantu daripada diperkenalkan dengan mencadangkan agar setiap rumah, pondok atau bangunan usang dijadikan pusat pembelajaran. Pulau Robben, tempat beliau dipenjarakan, menjadi pusat pendidikan politik dan Mandela memainkan peranan utama menganjurkan kelas-kelas tersebut.

Semasa di penjara, Mandela tidak pernah berkompromi dengan prinsip politiknya dan menjadi sumber kekuatan untuk banduan lain. Pada tahun 1970-an, beliau menolak tawaran meringankan hukuman jika bersetuju tinggal di Transkei. Pada tahun 1980-an pula, beliau menolak tawaran kebebasan daripada PW Botha jika menghentikan keganasan.

Pada 11 Februari 1990, Mandela dan rakan-rakan dibebaskan, lalu mereka bersetuju untuk meletakkan senjata. Selepas itu, perjuangan yang dimulakan empat dekad lalu diteruskan. Pada tahun 1991, konferensi nasional pertama ANC diadakan selepas beberapa dekad diharamkan. Mandela dilantik sebagai Presiden ANC, manakala Oliver Tambo menjadi Pengerusi Pertubuhan Nasional.

Pada 10 Mei 1994, pilihan raya diadakan dan beliau diisytiharkan sebagai Presiden pertama Afrika Selatan. Beliau bersara pada Jun 1999 dan menetap bersama keluarga di tempat kelahirannya, Qunu, Transkei. Nelson Mandela tidak pernah gentar dalam kesetiaannya terhadap demokrasi, kesaksamaan dan pembelajaran. Beliau telah memahat lagenda tersendiri dalam sejarah dunia dan menjadi sumber inspirasi rakyat Afrika Selatan khususnya serta masyarakat dunia amnya.

Selepas Perang Dunia Kedua, dalam perjuangan menentang penjajahan, Nelson Mandela muncul sebagai anak muda yang berani mengepalai perjuangan menentang kekejaman. Banyak pengorbanan dan perjuangan beliau telah didokumentasikan, termasuk kepimpinannya menentang Dasar Apartheid. Mandela bersama rakan seperjuangan membuka mata dunia bahawa semangat kemanusiaan dan karisma mampu menggoncang ketidakadilan institusi.

Walaupun Apartheid begitu kejam, penderitaan rakyat Afrika telah melahirkan kekentalan semangat Mandela. Pengalaman beliau dipenjara selama 27 tahun membuahkan manifestasi perjuangan yang dirakamkan dalam bukunya The Long Walk to Freedom. Perjalanan itu membuktikan bahawa kecekalan dan kesungguhan mampu menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang ditindas.

Sebagai negarawan unggul, Nelson Mandela berjaya merentas halangan daripada seorang pejuang kebebasan kepada tokoh dunia. Beliau menggunakan kelemahan ekonomi dan perpecahan rakyat sebagai mekanisme pembangunan Afrika Selatan. Dunia mengiktiraf kepimpinan beliau yang berani mengorak langkah menuju konsiliasi dan kebebasan.

Malaysia pula merupakan antara negara pertama yang menentang dasar Apartheid. Komitmen pemimpin negara dalam memperjuangkan keadilan sejagat seiring dengan perjuangan Mandela. Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut mengambil semangat ini untuk menaikkan taraf ekonomi Melayu serta merapatkan jurang bandar dan luar bandar.

Dalam usia 50 tahun, UiTM berdiri megah sebagai institusi pengajian tinggi terbesar di Malaysia, menjadi perintis pembangunan modal insan. UiTM turut menghargai sumbangan Mandela dalam perjuangan kemanusiaan dan pendidikan dengan menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Kerajaan dan Politik sempena Konvokesyen ke-65 serta Ulang Tahun ke-50 universiti.

Nelson Mandela, yang menerima lebih 50 ijazah kehormat dan menjadi Chancellor University of the North di Afrika Selatan, tetap dikenang sebagai lagenda unggul, pejuang hak asasi manusia dan sumber inspirasi sejagat.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM