Ijazah Kehormat Doktor Seni Persembahan YB Senator Datuk (Dr) Haji Mohamed Jin Shamsuddin
Istiadat Konvokesyen ke 62 (2005)

Senator Datuk Haji Mohamed Jin Shamsudin, atau lebih tersohor dengan nama Jins Shamsudin, adalah tokoh seni yang ingin diperkenalkan. Penglibatan beliau sebagai penggiat seni bukan kepalang hebat, sebagai pelakon, pengarah, penceramah, pensyarah, malah sampai ke tahap sebagai pemikir seni budaya bangsa.

Datuk Jins Shamsudin dilahirkan pada 5 November 1935, di Taiping, Perak Darul Ridzuan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bendang. Kemudian, pada tahun 1948, beliau terpilih memasuki Special Malay Class di Sekolah Edward, Taiping, Perak. Dalam suasana dan kemudahan yang terhad pada masa tersebut, Jins telah berjaya lulus darjah lapan yang boleh disamatarafkan dengan kelulusan di peringkat Senior Cambridge.

Minat dan kesungguhan beliau dalam bidang seni tidak hanya tertumpu kepada bidang seni lakon semata-mata. Beliau mahu menjadi yang terbaik dan tidak jemu-jemu belajar sama ada melalui pengalaman pekerjaan ataupun melalui pendidikan formal. Hasilnya, melalui biasiswa MARA beliau telah melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dan berjaya memiliki Diploma in Motion Picture Technology (London) pada tahun 1970. Lebih membanggakan lagi, Datuk Jins Shamsudin berjaya mendapat kelulusan dengan kepujian kelas pertama.

Penglibatan beliau dalam dunia seni mempunyai sejarah yang cukup panjang. Selepas bermula sebagai pelakon tambahan dalam filem Anakku Sazali (1956), beliau tidak pernah berundur ke belakang. Malah masih segar berkarya tanpa membatasi usia yang sudah mencecah 70 tahun. Sepanjang 50 tahun yang lepas, beliau telah berlakon dalam sekurang-kurangnya 43 buah filem sebagai pemegang watak utama.

Generasi lama mungkin masih boleh mengingati filem Panca Delima, Lela Manja, Megat Terawis, Si Tanggang atau Gerak Kilat. Mungkin bagi kelompok generasi yang berlainan, filem-filem seperti Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu, Esok Masih Ada ataupun Ali Setan dan Bukit Kepong pastinya akan mengembalikan ingatan mereka kepada Datuk Jins Shamsudin. Untuk generasi yang lebih muda pula, drama-drama bersiri yang disiarkan oleh RTM (Mahligai Gading) atau TV3 (Masih Ada Cinta - Slot Samarinda) mengekalkan seniman lama ini kepada khalayak umum.

Sebagai pelakon, Datuk Jins Shamsudin terbukti handal dan popular. Melalui filem Tiada Esok Bagimu, beliau telah merangkul anugerah kategori Pelakon Terbaik di Festival Filem Malaysia (1980), menjulang nama sebagai Pelakon TV Terbaik melalui Anugerah Seri Angkasa (1992) dan Pelakon TV Popular oleh Anugerah Bintang Popular Berita Harian (1992).

Peningkatan kerjaya dan senarai panjang penglibatan beliau dalam dunia seni tidak hanya berkisar sebagai pelakon semata-mata. Datuk Jins Shamsudin juga merupakan pengarah yang berbakat, berkarisma dan kreatif. Filem dan drama arahan serta terbitan beliau terbukti berkualiti serta mempunyai pengikut tersendiri. Malah mampu pula meraih pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sekadar menyebut contoh, beliau telah mendapat Anugerah Mitra di Pesta Filem Asia Pasifik di Bali (1979), Anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Penyuntingan Terbaik di Festival Filem Malaysia (1980) melalui filem Tiada Esok Bagimu. Dua tahun kemudian, melalui filem Bukit Kepong, beliau meraih Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Fotografi Terbaik, Special Effects Terbaik, Pengarah Seni Terbaik dan beberapa anugerah lain.

Beliau juga tidak putus-putus menerima dan menawarkan diri untuk menjayakan sebarang kegiatan seni. Perlantikan beliau dalam pelbagai pesta filem melambangkan komitmen dalam dunia seni. Beliau pernah beberapa kali dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Juri Pesta Filem Malaysia, Timbalan Pengerusi Jemaah Juri di Pesta Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei, Taiwan serta Pengerusi Jemaah Juri di Pesta Filem Asia Pasifik di Bangkok (1999), Hanoi (2000), Jakarta (2001), Shirah (2003) dan Fukuoka (2004).

Di peringkat kebangsaan, beliau adalah Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (1985-1989), anggota pengasas Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dan pengasas kepada penubuhan Akademi Seni Lakon Malaysia.

Sumbangan beliau dalam dunia seni sentiasa berkembang dan teruji dengan pelbagai kejayaan melalui ruang masa yang berbeza, bermula tahun 1956 hinggalah kini. Tidaklah sukar untuk menonjolkan pengiktirafan khusus atas penglibatan beliau. Anugerah P. Ramlee (1982) misalnya, merupakan anugerah julung kali yang disediakan oleh Pesta Filem Malaysia kepada tokoh perfileman yang menyumbang terbanyak terhadap perkembangan industri filem negara.

Melalui Pesta Filem Asia Pasifik (1987), beliau telah dianugerahkan Silver Crane Award atas sumbangan-sumbangan beliau sebagai seniman/pengarah filem. Antara pengiktirafan lain yang signifikan adalah Anugerah Tokoh Perfileman Negeri Perak (1999), Anugerah Tokoh Seni UKM (1999), Anugerah Tokoh Budaya (2001), Anugerah Panggung ERA (2003) dan Anugerah Seniman Sepanjang Zaman (2004).

Ilmunya yang luas telah dicurahkan kembali kepada generasi muda. Beliau telah dilantik sebagai penasihat bagi menubuhkan Pengajian Perfileman oleh Universiti Sains Malaysia (1984) serta merupakan anggota pengasas Akademi Filem Malaysia (1987). Buah fikiran beliau turut tersemai di Kolej Universiti Islam Malaysia setelah dilantik sebagai Jawatankuasa Pengajian Sarjana Muda Komunikasi Islam (2003).

Keunggulan beliau dalam melahirkan buah fikiran yang bernas, berwawasan dan berpengetahuan jelas tergambar melalui pembentangan kertas kerja di seluruh dunia. Kepakaran bidang beliau sering menjadi rujukan, menjadikan beliau sering diundang menyampaikan syarahan di universiti-universiti. Kemuncak sumbangan beliau sebagai pemikir seni budaya bangsa ialah apabila dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Persuratan (Hons. M. Litt) daripada Universiti Sains Malaysia pada 1999.

Selain seni, Datuk Jins Shamsudin juga aktif dalam masyarakat. Seawal usia dua puluhan, beliau telah menjadi AJK penaja UMNO Cawangan Coronation Road, Singapura. Antara lain, beliau juga ahli penaja Kelab UMNO London (1970), AJK Biro Ekonomi UMNO Malaysia (1979), Panel Penasihat Biro Kebudayaan Pemuda UMNO Malaysia (1989-1990), Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Ulu Kelang (1994-1995) dan perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia (1999-2003).

Budi dan jasa beliau turut diiktiraf melalui pelbagai pingat penghormatan, antaranya Pingat AMP (1980), Ahli Mangku Negara (AMN, 1986), DPMP (1990), KMN (1990), Johan Setia Makhota (JSM, 1993) dan PJN (2004). Kemuncak kepada segala macam pengiktirafan, beliau telah diangkat sebagai Ahli Dewan Negara dan bergelar Senator pada 13 Oktober 2004.

Sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas sumbangan beliau kepada dunia seni dan khususnya kepada industri perfileman Malaysia, maka pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-62, Universiti Teknologi MARA dengan bangganya menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Persembahan kepada YB Senator Datuk Haji Mohamed Jin Shamsudin.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM