Istiadat Konvokesyen Komemoratif Keenam (2004)
Sebagai arkitek Malaysia moden, beliau sebenarnya tidak memerlukan pengenalan dan pengkisahan yang panjang lebar mengenai dirinya. Dari sekecil-kecil unit sosial iaitu keluarga, sehinggalah kepada sebesar-besar organisasi moden pada era ini, iaitu di dalam mana-mana negara di mukabumi ini, berita serta pergerakan Tun Dr. Mahathir Mohamad – Perdana Menteri Malaysia yang keempat – sentiasa menjadi tumpuan orang ramai.
Perwatakan beliau sentiasa dijadikan bahan renungan yang mencetuskan pemikiran analitikal para pemimpin antarabangsa yang seolah-olah mencemburui daya kepemimpinannya. Hemahnya yang tinggi, yang diselang-seli dengan petanda ketegasan pendiriannya, sering memancarkan sifat keberanian serta daya juang tidak berpenghujung di kalangan masyarakat antarabangsa.
Suara beliau di arena antarabangsa, baik di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mahupun pada persidangan dunia dan serantau, sentiasa dilihat mewakili rantau Asia. Penghormatan dan penerimaan beliau di arena antarabangsa tidak diragui. Beliau menyuarakan dengan lantang hal-hal yang mencakupi pelbagai isu seperti relativisme budaya, pembangunan, sikap imperialisme Barat, serta falsafah dan pemikiran mengenai hak serta kebebasan bangsa dan negara lain.
Pemikiran beliau yang dikemukakan secara terbuka sangat mengagumkan. Beliau memilih untuk berterus terang tanpa bimbang kepada tekanan. Dengan kata lain, beliau tidak bermuka-muka. Inilah sifat mulia Tun Mahathir yang menjadikan beliau dianggap pemimpin berkeperibadian tinggi oleh bangsanya. Buku Malay Dilemma, misalnya, menggarap persoalan kepayahan orang Melayu dalam membangun kekuatan ekonomi.
Ketika dunia dilanda krisis mata wang antarabangsa pada 1997, beliau melangkah dengan yakin, melindungi tanahair tercinta secara berani dan tegas tanpa berselindung, biarpun popularitinya mungkin terjejas.
Tun Mahathir dilahirkan pada 20 Disember 1925 di Rumah Nombor 18, Lorong Kilang Ais, Kampung Seberang Perak, Alor Setar. Ibunya, Wan Tempawan Wan Hanafi, berasal daripada keturunan pemimpin yang memperkenalkan sistem terusan di Kedah, manakala bapanya, Mohamad Iskandar, merupakan seorang pendidik yang dihormati.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, kemudian di Government English School (Kolej Sultan Abdul Hamid). Selepas lulus cemerlang dalam Senior Cambridge (1945), beliau melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Di situlah beliau bertemu dengan Dr. Siti Hasmah, yang kemudian menjadi suri hidupnya pada 5 Ogos 1956.
Semasa menuntut, beliau aktif menulis dengan nama pena C.H.E. Det melalui akhbar Straits Times dan memimpin majalah kolej The Cauldron. Beliau juga menjadi Presiden Persatuan Muslim kolej perubatan. Pada tahun 1953, beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan & Pembedahan (MBBS).
Setelah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Langkawi, Jitra dan Perlis, beliau membuka klinik peribadinya, Klinik MAHA, di Alor Setar pada 1957. Ketika itu, beliau sudah digelar "Dr. UMNO".
Idealisme politik beliau bermula sejak zaman penjajahan British, Jepun, Siam dan kembali kepada British. Beliau menentang cadangan Malayan Union, lalu menubuhkan Persatuan Pemuda Melayu Kedah (PPMK) dan aktif dalam politik melalui Seberkas serta Kesatuan Melayu Kedah. Pada 1946, beliau menyertai UMNO.
Walaupun pernah disingkir daripada UMNO pada 1969 kerana mengkritik kesusahan orang Melayu, beliau kembali aktif dalam politik apabila diterima semula oleh Tun Abdul Razak pada 1972.
Pada tahun 1974, beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran, kemudian Timbalan Perdana Menteri pada 1976, dan akhirnya Perdana Menteri Malaysia pada 16 Julai 1981. Sepanjang kerjayanya, beliau juga memegang beberapa portfolio menteri termasuk Pertahanan, Dalam Negeri, Kewangan dan Tugas-Tugas Khas.
Sebagai Perdana Menteri, beliau memperkenalkan dasar-dasar penting seperti Bersih, Cekap dan Amanah, Penerapan Nilai-Nilai Islam, Kepimpinan Melalui Teladan, Pandang ke Timur dan Malaysia Boleh. Beliau menekankan kerja keras, disiplin, serta penguasaan ilmu sebagai kunci kejayaan negara. Beliau juga berani menolak campur tangan IMF ketika krisis kewangan Asia 1997. Walaupun tindakannya mencetus kontroversi, akhirnya terbukti keberaniannya menyelamatkan ekonomi negara.
UiTM menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Sains Politik & Kerajaan sebagai penghargaan. Tun Mahathir dikenang kerana mengisytiharkan perubahan nama ITM kepada UiTM pada 26 Ogos 1999, yang membuka lembaran baru bagi universiti ini. Beliau kerap hadir ke majlis mahasiswa UiTM, termasuk Festival Kemerdekaan (2001–2003), dan sering menitipkan pesan kepada pelajar agar menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. Ucapan beliau sentiasa memberi motivasi dan kesedaran. Falsafah Tun Mahathir jelas – bangsa yang ingin maju mestilah bekerja keras, bukannya menanti takdir. Beliau sentiasa menekankan sejarah sebagai guru yang membentuk tamadun.
Pemikirannya dalam persidangan antarabangsa seperti OIC pada 2003 mengangkat suara Islam dan menegaskan peranan maklumat dalam mensejahterakan bangsa. Sebagai seorang negarawan, beliau mampu menggabungkan ilmu, strategi, dan kepemimpinan sehingga menjadi model pemimpin unggul yang dihormati di peringkat dunia.