Istiadat Konvokesyen ke 58 (2003)
Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad dilahirkan pada 27 November 1936 di Melaka. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Masjid Tanah dan menamatkan pengajian menengah di Malacca High School pada tahun 1956. Sejak di bangku sekolah lagi, beliau menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik sehingga berjaya terpilih sebagai pelajar Melayu yang pertama melanjutkan pelajaran ke University of Malaya, Singapura, dan dianugerahkan Ijazah B.A (Hons) pada tahun 1960.
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dengan jawatan Penolong Pegawai Daerah di Negeri Sembilan. Walaupun jawatan itu menjadi rebutan ramai ketika itu, atas kecintaannya terhadap bidang pendidikan, beliau dengan rela melepaskan jawatan tersebut untuk menyambung pengajian di University of Malaya, Singapura, sehingga memperoleh Diploma in Education pada tahun 1961.
Selepas menamatkan pengajian, beliau meneruskan kerjaya dalam bidang pendidikan. Beliau pernah menjadi guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar (1962–1964) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pegawai Pelajaran Pulau Pinang (1965–1966) dan Timbalan Ketua Pegawai Pelajaran Kedah (1966–1967).
Keupayaan beliau terserlah apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelajaran Negeri Kelantan pada usia 31 tahun, menjadikannya pegawai termuda memegang jawatan tersebut. Beliau berkhidmat di Kelantan dari 1968 hingga 1970 dan memperkenalkan pelbagai idea baharu bagi meningkatkan taraf pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
Pengiktirafan kerajaan terhadap kepimpinannya dalam pendidikan semakin menyerlah apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Peperiksaan (1970–1974) dan Pengarah Perancangan serta Penyelidikan Pelajaran (1974–1976). Kariernya memuncak apabila beliau memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (1976–1985) dan akhirnya dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada usia 49 tahun.
Antara sumbangan besarnya ketika itu ialah sebagai Setiausaha Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Laporan jawatankuasa ini menjadi asas kepada pelbagai inovasi pendidikan negara.
Selain berkhidmat di Kementerian Pendidikan, beliau turut menjadi Ahli Majlis di beberapa universiti terkemuka seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia, dan Universiti Teknologi Malaysia. Beliau juga pernah terlibat dalam Lembaga Jemaah Maktab Tentera Diraja, UNESCO Malaysia, dan International Medical University.
Sumbangan beliau merentasi pelbagai bidang termasuk menjadi Naib Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara, Ahli Jawatankuasa Istilah Malaysia-Indonesia, serta ahli dalam beberapa badan perancang dan pembangunan negara. Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menjadi Pengerusi Regional Institute of Higher Education and Development, Bangkok; Pengerusi UNESCO Asia and Oceania Group; Pengerusi INNOTECH Manila; serta ahli jawatankuasa di UNESCO, ISESCO, ASEAN, dan lain-lain.
Jasa beliau turut mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pada tahun 1981 beliau dinobatkan sebagai Eisenhower Fellow, USA, manakala pada tahun 1992 beliau menerima D.Litt (Hon) dari Heriot-Watt University, Edinburgh, serta Doktor Persuratan (Kehormat) dari Universiti Putra Malaysia. Pada tahun 1994 pula beliau dianugerahkan D.Ed (Hon) dari University of East London.
Selain cemerlang dalam pendidikan, beliau juga aktif dalam dunia korporat. Beliau pernah menjadi Pengerusi Bank Industri dan Teknologi Malaysia Berhad, Autoways (M) Sdn. Bhd., Stamford College Berhad, Kuantan Flour Mills Berhad dan beberapa syarikat lain.
Beliau turut aktif dalam kerja amal dan sukarela, antaranya menerajui Koperasi Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Nasional (KOPENAS) sebagai Pengerusi dan menjadi Ahli Lembaga Amanah Yayasan Tuanku Abdul Rahman. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail. Dalam bidang sukan, beliau aktif bermain golf dan mewakili UiTM dalam pelbagai pertandingan.
Atas segala jasa bakti, beliau telah dikurniakan pelbagai pingat penghormatan termasuk Pingat Johan Setia Mahkota (1973), Johan Mangku Negara (1981), Darjah Cemerlang Seri Melaka (1986), Panglima Setia-Mahkota (1988), Seri Panglima Darjah Kinabalu (1990), dan Darjah Mulia Pangkuan Negeri (1992).
Walaupun bersara daripada kerajaan pada tahun 1991, beliau tetap aktif menyumbang bakti. Pernah ditanya tentang semangatnya, beliau menjawab: “Although I’m retired but I’m not tired.”
Sumbangan beliau kepada UiTM amat besar. Sejak 1972 beliau terlibat sebagai Ahli Mesyuarat Majlis ITM dan kemudian Ahli Majlis ITM (1982–1992), sebelum dilantik sebagai Pengerusi Majlis ITM (1992–1996). Beliau juga menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM pertama (1996–2002) dan Pro-Canselor UiTM pada tahun 2002.
Sebagai nakhoda UiTM, beliau berperanan memperluas peluang pendidikan bumiputera melalui pembukaan kampus-kampus cawangan dan kampus tetap di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Beliau juga mengembangkan program akademik UiTM ke peringkat Sarjana Muda, Sarjana, dan Doktor Falsafah, selain menubuhkan fakulti baharu termasuk Fakulti Perubatan. Kerana sumbangan besar itu, beliau digelar The Man in White, simbol wira tulus memperjuangkan pendidikan anak bangsa.
Sebagai tanda penghormatan atas jasa dan sumbangan besarnya, UiTM menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan kepada YBhg. Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-58.