Istiadat Konvokesyen ke 57 (2003)
Tan Sri Dato' Seri Abdullah Ahmad dilahirkan pada 4 Julai 1937 di Kampung Bandau, Pulau Chondong, Machang, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Pada tahun 1956, beliau merupakan antara kumpulan pertama yang melanjutkan pelajaran di Maktab RIDA (kemudiannya menjadi Institut Teknologi MARA dan kini Universiti Teknologi MARA – UiTM) di Kampus Jalan Othman dalam bidang Company Secretary. Hasil kegigihan beliau, Tan Sri Abdullah berjaya memperoleh Sarjana Persuratan dari Universiti Cambridge. Beliau turut dilantik sebagai Fellow di Pusat Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Harvard serta Fellow Congressional Kesatuan Sains Politik Amerika.
Dari tahun 1963 hingga 1976, Tan Sri Abdullah menjadi Penasihat Politik kepada Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Dato Hussein. Pada tahun 1974, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Penolong Whip dalam Parlimen dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Beliau juga menjadi wakil UMNO dalam Majlis Perundingan Ekonomi Kebangsaan (NECC) pertama dan kedua. Tan Sri Abdullah bersara dari arena politik tanah air pada tahun 1996 dan kemudiannya dilantik sebagai Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York dari 2 Jun 1996 hingga Mei 2000.
Walaupun berada di luar negara, hubungan beliau dengan masyarakat tanah air tidak pernah terputus. Beliau terus menyalurkan ilmu melalui penulisan di pelbagai akhbar seperti Utusan Malaysia, Business Times dan The Sun, yang memberi fokus kepada isu-isu negara dan antarabangsa. Tulisan beliau mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat kerana penuh dengan pandangan bernas dan membangkitkan semangat kesedaran bangsa. Pada tahun 1999, beliau dianugerahkan darjah kebesaran Tan Sri sebagai penghargaan atas jasa dan sumbangannya kepada negara serta usaha penulisannya yang membuka mata orang Melayu tentang kepentingan pendidikan dan kejayaan.
Sekembalinya dari New York, beliau dilantik sebagai Pengarah Eksekutif New Straits Times Berhad, organisasi penerbitan akhbar tertua di Malaysia yang menerbitkan The New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro dan Malay Mail. Seterusnya beliau dilantik sebagai Ketua Editor Kumpulan (Editor-in-Chief) dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan editorial untuk semua akhbar di bawah Media Kumpulan NST. Perlantikan ini sangat tepat kerana beliau sendiri berpengalaman luas dalam dunia kewartawanan sejak menamatkan pengajian di MCKK dan Maktab RIDA.
Tan Sri Abdullah turut menghasilkan beberapa karya ilmiah yang penting. Antara buku beliau ialah Tengku Abdul Rahman's Foreign Policy 1957 – 1970 (Berita Publishing, 1985), Issues in Malaysian Politics (Institute of Foreign Affairs of Singapore, 1987), serta Conversations with Tengku Abdul Rahman yang telah lama disiapkan tetapi belum diterbitkan. Beliau sering dijemput menyampaikan syarahan di universiti tempatan dan antarabangsa termasuk di Harvard University, Cornell University, Boston University serta Think Tank di Korea Selatan dan India.
Sebagai seorang tokoh negarawan, beliau pernah terlibat secara langsung dalam peristiwa penting negara termasuk penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Rukun Negara selepas peristiwa 13 Mei 1969. Beliau amat percaya bahawa hanya melalui pendidikan bermutu, bangsa Melayu dapat meningkatkan taraf hidup dan keluar daripada lingkaran kemiskinan. UiTM yang lahir daripada dasar tersebut telah berjaya melahirkan ribuan graduan Melayu yang menjadi kebanggaan beliau.
Pada 20 Februari 1969, Tan Sri Abdullah berkahwin dengan Puan Sri Datin Seri Fauzah Mohamed Darus, seorang bekas Pegawai Tadbir dan Diplomatik berkelulusan Undang-Undang serta bekas Penasihat Politik di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, London. Pasangan ini dikurniakan tiga orang anak (dua lelaki dan seorang perempuan) yang kesemuanya lulusan universiti di Britain.