Istiadat Konvokesyen ke 57 (2003)
Tan Sri Dato' Seri Mohd Saleh Sulong dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan, 52 tahun yang lalu. Beliau merupakan seorang tokoh korporat yang berjaya, dengan personaliti sederhana serta ketokohan yang disegani.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Umum Bukit Besi dan seterusnya di Dungun English School, kedua-duanya di Terengganu. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Pada tahun 1970, beliau memasuki Institut Teknologi MARA (ITM) dan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan, lulus sebagai ahli Chartered Institute of Management Accountants (United Kingdom) pada tahun 1974. Semasa di ITM, beliau aktif dalam pelbagai aktiviti pelajar.
Untuk 10 tahun pertama, beliau berkhidmat sebagai Akauntan dalam Kumpulan Cycle & Carriage. Pada tahun 1984, ketika berusia 33 tahun, beliau bersama seorang rakan menubuhkan Master-Carriage (Malaysia) Sdn. Bhd. dalam bidang automotif. Syarikat tersebut berkembang pesat dengan penguasaan beberapa francais dan aktiviti korporat strategik, sehingga lahirnya DRB-HICOM Berhad pada tahun 2000. DRB-HICOM kini merupakan salah sebuah konglomerat terbesar di Malaysia, beribu pejabat di Glenmarie, Shah Alam dan tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.
Di bawah kepimpinannya, DRB-HICOM menjadi majikan utama negara dengan lebih 33,000 kakitangan, membawahi 85 syarikat dalam tiga sektor utama, iaitu automotif, pembinaan dan hartanah, serta perkhidmatan (perbankan, insurans, teknologi maklumat dan kemudahan awam). Walaupun negara dilanda kegawatan ekonomi 1997, DRB-HICOM berjaya bangkit dengan strategi yang inovatif dan terus menyumbang kepada ekonomi negara, khususnya dalam industri automotif.
Selain sebagai Pengerusi Kumpulan DRB-HICOM, beliau turut memegang pelbagai jawatan penting, antaranya Pengerusi Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), EON Capital Berhad, Uni.Asia General Insurance Berhad, Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia dan Yayasan Budiman UiTM. Beliau juga merupakan Pengarah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Pengarah Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Ahli Lembaga Yayasan Kebajikan Ummah Negeri Terengganu, Pemegang Amanah Malaysian Humanitarian Foundation serta Ahli Pacific Basin Economic Council (Malaysia).
Beliau juga pernah memegang jawatan Pengerusi PROTON, Kedah Cement Holdings Berhad, Cycle & Carriage Limited (Singapore) dan Lotus Group International Limited (UK). Selain itu, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Penyelidikan dan Kajian Sains Negara serta Pengarah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
Atas sumbangan besar beliau, Tan Sri Saleh telah menerima pelbagai darjah kebesaran, antaranya Darjah Dato' Paduka Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan (1994), Darjah Cemerlang Seri Melaka (1997), Darjah Seri Indera Mahkota Pahang (1997), Darjah Panglima Setia Mahkota (1998) yang membawa gelaran Tan Sri, dan Darjah Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor (1999). Beliau juga ditauliahkan sebagai Kolonel Kehormat Tentera Wataniah pada Julai 2001 dan menerima Anugerah Tokoh Usahawan daripada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia pada tahun 2002.
Tan Sri Saleh berkahwin dengan Puan Sri Datin Seri Akmal Abdul Salam, bekas pelajar ITM dalam kursus Diploma in Library Science. Pasangan ini dikurniakan tiga orang anak lelaki.