Istiadat Konvokesyen ke 55 (2002)
Dato’ Seri Dr. Hasmah Haji Mohd Ali dilahirkan di Kelang, Selangor, pada 12 Julai 1926. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur antara tahun 1932 hingga 1933. Antara tahun 1934 hingga 1941, beliau bersekolah di St. Mary’s Kuala Lumpur dan juga di Sekolah Pudu English, Kuala Lumpur pada tahun 1946 sehingga lulus School Certificate. Beliau menerima pendidikan tinggi di Universiti Malaya, Singapura dalam jurusan perubatan bermula pada tahun 1947 dan kemudiannya menyempurnakan pengajian serta dianugerahkan ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Muda Pembedahan (MBBS) pada tahun 1955. Kejayaan tersebut merupakan antara pencapaian ulung wanita Melayu yang berjaya dalam jurusan berkenaan pada waktu itu. Pada tahun 1966, Dato’ Seri Dr. Siti Hasmah mengikuti kursus Perancang Keluarga di Population Planning, Ann Arbor, Michigan, Amerika Syarikat.
Sejarah awal kerjaya beliau bermula di Hospital Besar Kuala Lumpur apabila mula berkhidmat sebagai doktor pelatih antara tahun 1955 hingga 1956. Kemudian, beliau bertugas pula sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar sehingga tahun 1960. Bintang kerjaya beliau terus bersinar apabila pada tahun 1963 beliau mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang menyandang jawatan Pegawai Perubatan Kedah Utara. Setahun selepas itu, beliau diamanahkan pula memangku jawatan Penguasa Perubatan Hospital Besar Alor Setar. Pada tahun 1965, beliau diberikan kepercayaan untuk menyandang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak di Pejabat Kesihatan Kedah Utara, Alor Setar. Antara tahun 1966 hingga 1967, beliau ditugaskan pula di Alor Setar sebagai Pegawai Kesihatan Kedah Utara.
Dato’ Seri Dr. Siti Hasmah terus diberikan kepercayaan oleh kerajaan apabila antara tahun 1968 hingga 1974, beliau dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Daerah Kubang Pasu dan Langkawi di samping merangkap jawatan Pengetua Sekolah Latihan Luar Bandar, Jitra. Antara Februari hingga Oktober 1974, beliau pernah memegang jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah, yang pada ketika itu merupakan jawatan baharu di Jabatan-Jabatan Pengarah Perubatan dan Kesihatan Negeri. Mulai November 1974, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Kesihatan dan Pensyarah, Bahagian Kesihatan Ibu dan Anak, Institut Kesihatan Umum, Kuala Lumpur sehinggalah kontrak perkhidmatannya berakhir pada tahun 1979. Beliau terus menyumbang khidmat bakti selaku pensyarah sambilan di Institut Kesihatan Umum dan juga Fakulti Pergigian Universiti Malaya.
Sepanjang kehidupan beliau, Dato’ Seri Dr. Siti Hasmah telah menyumbang tanpa mengenal penat lelah, sama ada sewaktu di dalam perkhidmatan mahupun selepas bersara. Atas minat dan kesedaran yang telah terpupuk sejak kecil, beliau terus berbakti kepada negara dan masyarakat melalui pelbagai pertubuhan serta kesatuan yang menjadi platform untuk beliau bergiat aktif dalam kerja-kerja sukarela. Antara lain, beliau aktif dalam Persatuan Perancang Keluarga Negeri Kedah sebagai ahli seumur hidup sejak 1962 dan Pengerusi antara tahun 1965 hingga 1972; Perkumpulan Perempuan Negeri Kedah pada tahun 1972; Lembaga Kebajikan Perempuan Islam, Cawangan Kedah (1967) serta Timbalan Pengerusi antara 1968 hingga 1974; Persatuan Perubatan Malaysia pada tahun 1973; Persatuan Pemulihan Orang Cacat Wilayah Persekutuan dan Selangor (1979) sebagai Presiden; Persatuan Pandu Puteri Kebangsaan sebagai Yang Dipertua sejak 1981 hingga kini; Persatuan Pencegah Tibi Kedah pada tahun 1974; dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri serta Timbalan Menteri (BAKTI) sebagai Yang Dipertua sejak 1981 hingga sekarang.
Selain itu, beliau juga menjadi penaung kepada Persatuan Doktor-Doktor Pakar Islam (ISDAM) dan Pan-Pacific & South East Asia Women’s Association of Malaysia (PPSEAWA). Beliau turut terlibat dalam International Steering Committee for the Advancement of Rural Women sebagai Presiden (1998–2000) dan kini sebagai Patron; serta Regional Steering Committee Asia-Pacific for Advancement of Rural Women sebagai Presiden (1995–2001) dan Patron sejak tahun 2002.
Dalam memainkan peranannya melalui jawatan rasmi serta minat peribadi, Dato’ Seri Dr. Siti Hasmah telah hadir dalam banyak seminar dan persidangan kesihatan, baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Antaranya termasuk Persidangan Kesihatan Ibu dan Anak anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1968; Seminar Perancang Keluarga Kebangsaan 1970; Persidangan Islam Antarabangsa mengenai Islam dan Perancang Keluarga di Rabat, Maghribi 1971; dan Seminar Pendidikan Kesihatan di Manila, Filipina pada tahun 1973. Pada tahun 1998, beliau dijemput oleh World Interagency Group on Safe Motherhood untuk melaporkan kejayaan Malaysia dalam program Safe Motherhood Initiatives di Washington, dan pada tahun 2000 beliau dijemput oleh World Bank untuk membentangkan kejayaan sistem mikro-kredit di Malaysia.
Selain menghadiri, beliau juga banyak mempengerusikan seminar, persidangan dan kongres antarabangsa berkaitan kebajikan serta kesihatan wanita dan keluarga. Sebagai contoh, mesyuarat pertama Poverty Eradication Through Microfinance pada tahun 1997 yang dikendalikan beliau telah mendapat liputan dan pujian antarabangsa. Begitu juga dengan penglibatan beliau dalam Sixth International Congress on HIV/AIDS in Asia & Pacific (ICAAP) pada Oktober 2001, di mana beliau memainkan peranan penting sebagai tenaga utama di sebalik persidangan tersebut. Banyak kenyataan dan pandangan beliau mengenai pembangunan serta kebajikan wanita mendapat perhatian istimewa di peringkat global.
Khidmat dan bakti Dato’ Seri Dr. Siti Hasmah turut diiktiraf secara rasmi di dalam negara menerusi pelbagai anugerah. Sebagai contoh, Universiti Malaya mewujudkan Kursi Dr. Siti Hasmah Mohd Ali yang mengkhusus dalam bidang Sains dan Teknologi.
Sumbangan beliau juga dicatatkan melalui penerbitan sejak tahun 1960-an, termasuk The Effect of Islam & Adat on Health Attitudes (1968), The Role of the Nurse & Midwife in Family Planning Service (1969), Pantang Larang & Adat Resam Semasa Mengandung dan Selepas Bersalin (1974), Susuan Ibu & Penyusuan Anak (1976), Rokok Punca Kecacatan Anak (1978), Adat, Kesihatan dan Wanita (1979), serta Kedah Flavours (1997).
Pada hari ini, Dato’ Seri Dr. Siti Hasmah meneruskan kehidupan bahagia bersama YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia. Mereka bertemu ketika sama-sama menuntut di Universiti Malaya, Singapura. Kehidupan mereka diserikan dengan kehadiran tujuh orang anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Mazhar dan Maizura, di samping keriuhan serta kemeriahan 15 orang cucu.
Sesungguhnya, sumbangan dan bakti yang dicurahkan oleh beliau kepada negara dan masyarakat terlalu besar dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Minat, kecenderungan serta perhatian berterusan terhadap persoalan wanita, kesihatan, keluarga dan masyarakat tidak pernah putus dan amat mustahil untuk dilupakan. Beliau tekun dalam segala usaha berkaitan pencegahan penyakit berjangkit, pembangunan wanita dan kanak-kanak serta isu-isu kesihatan umumnya.
Sebagai tanda penghormatan tertinggi terhadap sumbangan Dato’ Seri Dr. Hasmah, pada Istiadat Konvokesyen Ke-55, Universiti Teknologi MARA dengan bangga menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Sains Kesihatan.