
Istiadat Konvokesyen ke 66 (2007)
Enam puluh tahun yang lalu, iaitu pada 19 April 1947, lahirlah seorang anak jati Johor di Mersing. Anak ini kemudiannya membesar di Parit Keroma, Muar dan menjejaki menara gading demi menyahut cabaran serta minat yang mendalam terhadap bidang ekonomi.
Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim merupakan anak kepada pasangan Haji Hashim bin Haji Ahmad dan Hajjah Fatimah binti Tahir. Beliau adalah lulusan pertama anak didik Profesor Diraja Ungku Aziz dari Fakulti Ekonomi Universiti Malaya pada tahun 1969. Pada tahun 1985, beliau mengikuti kursus untuk eksekutif tertinggi, Stanford Executive Program (SEP) di Stanford University, California, USA. Beliau turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 2000.
Beliau memulakan kerjaya di Bank Negara Malaysia dalam suasana pergolakan peristiwa 13 Mei 1969, yang memberi kesan besar dalam membentuk semangat juang serta kegigihannya. Ketika peristiwa itu berlaku, beliau tampil menyahut seruan khidmat negara selaku pegawai tanpa tauliah Askar Wataniah Malaysia di Universiti Malaya. Semangat generasi 13 Mei ini mendorong beliau menanam tekad memperjuangkan nasib bangsa dalam bidang ekonomi, perniagaan dan korporat.
Pendedahan sewaktu berkhidmat di Bank Negara membekalkan pengalaman yang berharga sehingga beliau dipinjamkan untuk membantu Allahyarham Tan Sri Basir Ismail menubuhkan Johor Corporation (dahulunya Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor) pada tahun 1970. Pada tahun 1980, beliau dilantik berkhidmat sepenuh masa dengan Johor Corporation sebagai Timbalan Pengurus Besar. Mulai Januari 1982, beliau menjadi Ketua Eksekutif Johor Corporation dan memegang jawatan itu selama lebih suku abad. Tempoh yang panjang ini memberi ruang kepadanya membentuk acuan konsep korporat tersendiri, membina organisasi, menyusun strategi dan melaksanakan langkah dengan rapi serta berkesan.
Tan Sri Ali juga merupakan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pasir Gudang. Selama 30 tahun, Johor Corporation berjaya membangunkan bandar baharu itu tanpa menerima peruntukan kewangan kerajaan, sebaliknya beroperasi atas landasan perniagaan dan perdagangan. Hasilnya, PBT Pasir Gudang dapat berdikari sepenuhnya dari segi kewangan.
Beliau turut memegang jawatan Pengerusi beberapa syarikat tersenarai milik JCorp di Bursa Malaysia, antaranya Kulim (Malaysia) Berhad, QSR Brands Berhad, KFC Holdings Berhad, KPJ Healthcare Berhad, Johor Land Berhad, Sindora Berhad dan Damansara Realty Berhad. Pengambilalihan QSR dan KFC yang berpanjangan hampir setahun mendapat perhatian meluas masyarakat dan media. Kejayaan itu akhirnya menjadi mercu tanda dalam sejarah perkembangan korporat Malaysia.
Selain kepimpinan korporat, beliau banyak melabur masa untuk mengembangkan semangat keusahawanan, khususnya dalam kalangan generasi muda. Peranannya sebagai Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Pengerusi Biro Korporat DPIM, serta Pengerusi DPIM Negeri Johor telah membuka ruang luas untuk menjadikan bidang perniagaan sebagai kerjaya. Baginya, perniagaan adalah satu cabang jihad dan perjuangan untuk membebaskan bangsa Melayu serta umat Islam daripada kemelut keciciran ekonomi, peminggiran sosial dan kemiskinan. Beliau juga mencabar bangsa Melayu agar mencapai sasaran 65 peratus Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan tidak sekadar berpuas hati dengan 30 peratus.
Beliau adalah Pengerusi Kumpulan Waqaf An-Nur Berhad yang mengawasi perjalanan hospital waqaf, empat buah Klinik Waqaf An-Nur dan Pusat Dialisis untuk golongan miskin. Johor Corporation juga merupakan organisasi korporat pertama di dunia yang mengambil langkah transformasi ke arah institusi Waqaf Korporat. Pada 3 Ogos 2006, JCorp mewaqafkan saham PLC miliknya bernilai RM200 juta sebagai permulaan pewaqafan.
Hasil kepimpinannya, Johor Corporation menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri bagi Sektor Awam pada tahun 1990. Beliau juga menerima pelbagai pengiktirafan seperti Entrepreneur of the Year Award oleh Rotary Club of Johor Bahru (1994), Director of the Year dari Malaysian Institute of Directors (1995), Property CEO of the Year 2005 oleh International Real Estate Federation (FIABCI-Malaysia), Anugerah Korporat Terbaik Program Kemasyarakatan (CSR) pada Forum Halal Sedunia 2006, serta Anugerah Penghargaan Ma’al Hijrah 1428 pada 20 Januari 2007 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Tan Sri Ali yang berkahwin dengan Puan Sri Datin Noorzilah Mohammed Ali, dikurniakan empat orang cahaya mata. Beliau juga berbakat dalam bidang penulisan. Antara karya beliau ialah Membujur Lalu... (1996), Bisnes Satu Cabang Jihad (2003), dan Pengisian Agenda Ekonomi Di Bawah Konsep Islam Hadhari: Menjadikan Bisnes Satu Cabang Jihad (2004). Buku Bisnes Satu Cabang Jihad turut diterbitkan dalam Bahasa Indonesia.
Di Johor Corporation, budaya keusahawanan dipupuk dalam kalangan pekerja sehingga istilah "kakitangan" digantikan dengan semangat intrapreneur. Program Tunas BISTARI diperkenalkan sejak 1992 kepada pelajar sekolah menengah di Johor dan telah disertai lebih 11 ribu pelajar. Kejayaan itu membawa kepada Program Siswa BISTARI di UiTM Johor dan UiTM Shah Alam.
Konsep Intrapreneur Johor Corporation membina pengurus-usahawan amanah tanpa pegangan ekuiti. Melalui skim ini, lebih 45 syarikat intrapreneur SME berjaya diwujudkan dengan perolehan melebihi RM350 juta dan keuntungan agregat RM20.9 juta pada tahun 2006. Sindora Berhad turut mengendalikan Skim Intrapreneur Venture untuk usahawan bumiputera.
Dalam perjuangan membangunkan usahawan, beliau menekankan nilai asal-usul, budaya murni, zakat dan jihad bisnes. Baginya, perniagaan bukan sekadar mengaut harta, tetapi jalan jihad untuk mengangkat martabat bangsa dan agama.
Tan Sri Ali sering menyampaikan pesanan melalui pantun-pantun berikut:
Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk, kedua pantai
Kalau mencari tempat menjadi
Pertama elok, kedua pandaiTimang tinggi-tinggi
Jangan sampai jatuh tangga
Baru tumbuh gigi
Dah pandai nak berniagaBuai laju-laju
Sampai dekat pokok nangka
Bila Melayu maju
Sedekah, zakat, tolong bangsaBukan kota sebarang kota
Kota kubu penghalang jahat
Bukan bisnes rakuskan harta
Bisnes menuju ke jalan jihad