ljazah Kehormat Doktor Sains Sukan YBhg. Datin Paduka (Dr) Hajah Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir
Istiadat Konvokesyen ke 68 (2008)

Anak kelahiran Johor yang dilahirkan pada 23 Mei, 42 tahun lalu bukan lagi asing bagi rakyat negeri tersebut. Malah, beliau turut dikagumi oleh rakyat negara ini atas kejayaan wanita berhati waja ini melakar nama negara di pentas dunia.

Datin Paduka Hajah Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir mendapat pendidikan menengah di Sekolah Sultanah Engku Tun Aminah (SETA) dan seterusnya menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) di Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Seperti juga anak-anak muda lain, melangkah ke menara gading menjadi satu aspirasi kepada beliau untuk terus menimba ilmu. Universiti Putra Malaysia menjadi pilihan beliau untuk melanjutkan pengajian di dalam program Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pendidikan Jasmani. Tidak hairanlah jurusan ini yang dipilih kerana sememangnya beliau aktif dalam bidang sukan dan telah menerima pelbagai anugerah di peringkat negeri, khususnya Johor, serta di peringkat universiti.

Beliau pernah mendapat anugerah Atlit Harapan Johor pada tahun 1987 dan telah menyumbang khidmat bakti dengan mewakili negeri Johor dan pasukan kebangsaan dalam sukan hoki. Bakat beliau bukan sahaja dalam sukan hoki, malah menyerlah sebagai atlit trek dan padang bagi acara merejam lembing serta merupakan pemegang rekod negeri Johor antara tahun 1994 hingga 1996. Di peringkat universiti, beliau juga aktif menyertai sukan hoki, trek dan padang serta sofbol hingga ke peringkat Universiti ASEAN. Beliau turut mempunyai kemahiran dalam sukan mempertahankan diri iaitu 1st Don Black Belt Tae Kwan Do (WTF).

Sesungguhnya, bakat beliau sebagai seorang pemimpin sukan dengan karisma yang tinggi terserlah melalui kegiatan kokurikulum semasa bergelar pelajar master dalam bidang Pendidikan (Psikologi) di McGill University, Montreal, Kanada. Antaranya, beliau pernah menjadi jurulatih trek dan padang bagi universiti, jurulatih ski peringkat awalan di Montreal, kaunselor sukan bagi Sport Summer Camp anjuran universiti serta Jurulatih Mental bagi golongan kurang upaya di McKay Center, Montreal, Kanada.

Beliau kemudiannya memulakan kerjaya sebagai penjawat jawatan kerajaan iaitu seorang pendidik dan ditempatkan di beberapa buah sekolah sekitar ibu kota antara tahun 1990 hingga 1994. Pengalaman sebagai atlit yang cemerlang telah membantu beliau membina kerjaya sebagai guru sukan yang mempunyai kepakaran dalam bidang psikologi sukan, terutamanya apabila beliau bertugas di Sekolah Sukan Negara Bukit Jalil mulai tahun 1998 hingga 2000 sekembalinya dari melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Kanada. Pada ketika itu juga beliau ditawarkan jawatan Pensyarah Sambilan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Kemudiannya beliau dilantik sebagai pensyarah tetap di institusi yang sama sehingga pertengahan tahun 2007.

Semasa berkhidmat di UiTM, beliau terlibat dengan pelbagai jawatankuasa di peringkat fakulti, universiti dan industri. Antaranya, beliau menjadi perintis kepada Kelab Latihan Mental, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang telah mendapat pengiktirafan dari Center of Excellent Training, Sweden sebagai Kelab Latihan Mental pertama di Asia. Kelab ini mengadakan program-program latihan mental dengan pihak sekolah, persatuan sukan peringkat kelab dan negeri, termasuk pasukan Bolasepak Public Bank dan Pasukan Bolasepak Selangor bagi persediaan Liga Premier tahun 2002.

Latar belakang beliau jelas memperlihatkan kewibawaannya dalam pelbagai aspek kesukanan sama ada dari segi kemahiran khusus, pengetahuan atau pengalaman dalam pengurusan sukan dan kejurulatihan. Antaranya, beliau pernah terlibat sebagai Jurulatih Kebangsaan (trek dan padang), Jurulatih Atlit Junior (Kuala Lumpur) dan Ketua Jurulatih Atlit Sekolah (Wilayah Persekutuan).

Semenjak awal penglibatannya dalam bidang sukan, jelas kelihatan kecekalan beliau yang tinggi. Hampir dua puluh penganugerahan telah diterima sebagai pengiktirafan atas usaha berterusan dan penuh iltizam. Antaranya termasuk Anugerah Tokoh Maulidurrasul Kebangsaan dan Tokoh Belia Sukan Negeri Johor. Beliau juga merupakan perintis kepada konsep M.E.P.S yang secara rasmi dipatenkan pada tahun 2006 dan telah dipraktikkan oleh beliau sendiri dalam Ekspedisi Antartika 2004. Keberkesanan konsep ini turut dibuktikan dalam Ekspedisi Kutub Utara pada April 2007.

Rentetan daripada itu, beliau dijemput untuk berkongsi formula M.E.P.S di dalam dan luar negara oleh pihak kerajaan mahupun swasta serta telah menyampaikan hampir 300 ceramah sejak kembali dari ekspedisi kutub selatan. Antaranya, beliau terlibat dalam 4th International World Congress of Mental Training di St. Petersburg, Rusia, menjadi fasilitator bengkel di Akademi Latihan Mental Sweden, menghadiri konferensi Receipe for Success yang dijemput oleh Asia Deligence Pacific di PWTC, serta menyampaikan ceramah untuk badan korporat seperti ExxonMobil, UEM Group, PLUS Expressway, PNB, Maxis, MAS, Yayasan FELDA dan banyak lagi.

Datin Paduka Hajah Sharifah Mazlina adalah ikon yang mempunyai kelas tersendiri dalam melakar kejayaan di peringkat Asia mahupun antarabangsa. Beliau adalah pemegang rekod dunia sebagai orang terpantas merentasi Kutub Selatan menuju ke Hercules Inlet dengan menggunakan teknik Ski Sailing semasa Ekspedisi Kutub Selatan 2004 sejauh 1127 km dalam masa 22 hari. Pencapaian beliau turut tercatat sebagai rekod wanita Islam pertama di dunia yang melakukan ekspedisi ke Kutub Utara dan Kutub Selatan, sekali gus diiktiraf sebagai Wanita Asia Pertama yang menjelajah kedua-dua kutub tersebut.

Keistimewaan beliau bukan sekadar daripada kekuatan fizikal dan mental tetapi juga bakat berkarya dalam bentuk penulisan. Beliau menulis beberapa buku termasuk MEPS Concepts Target Chart (ASE Sdn Bhd), MEPS Concepts Booklet (ASE Sdn Bhd), Menjadi Pelajar Cemerlang (Fajar Bakti) dan Rentasan (Semi Autobiography, ASE Sdn Bhd). Beliau juga menjadi subjek penulisan penulis lain seperti Into 90 Degrees North (North Pole Expedition Coffee Table Book), Into The Ice (South Pole Expedition Coffee Table Book) dan Rentasan. Selain itu, beliau pernah menjadi kolumnis dalam akhbar Berita Harian sebanyak 30 siri dan kini bakal menjadi kolumnis dalam beberapa majalah serta akhbar harian.

Dengan kejayaan yang begitu cemerlang, beliau telah dikurniakan Bravery Award oleh Presiden Chile, Ricardo Lagos, sebagai orang luar pertama yang berjaya mengharungi cabaran merentasi Kutub Selatan. Pada tahun 2005, beliau dianugerahkan Darjah Paduka Mahkota Johor (DPMJ) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’, dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Pada tahun 2006 pula, beliau dianugerahkan Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka.

Kesemua pengiktirafan yang diterima jelas membuktikan komitmen beliau dalam bidang kesukanan. Namun begitu, beliau tidak leka dengan segala pujian dan sanjungan. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dengan menjadikan pengalaman luas dalam ekspedisi Kutub Utara dan Kutub Selatan sebagai bahan penyelidikan. Hasil kajian ini bakal dikongsi bersama masyarakat dalam dan luar negara.

Terkini, kerana pencapaian beliau yang mengagumkan, Kerajaan Malaysia memberi penghormatan melantik beliau sebagai pembawa obor Sukan Olimpik Beijing 2008. Hari ini, melalui sumbangan yang membanggakan, Universiti Teknologi MARA menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan kepada YBhg. Datin Paduka Hajah Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM