Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan (Pendidikan Kanak-Kanak) YABhg. Datin Paduka Seri (Dr) Rosmah Mansor
Istiadat Konvokesyen Komemoratif Ketujuh (2009)

"Kanak-kanak adalah permata negara". Begitulah umpamanya kanak-kanak pada Datin Paduka Seri Rosmah Mansor. Di mata anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini, kanak-kanak jauh lebih bernilai daripada permata, kerana mereka perlu dijaga dengan baik serta disayangi dan dibelai sejak dalam kandungan ibu lagi. Acap kali ketika Datin Paduka Seri Rosmah bercerita tentang kanak-kanak, cahaya wajahnya akan berkilau bagaikan permata kerana minat dan komitmennya yang mendalam terhadap mereka.

Seketat mana jadual tugasan rasmi seorang isteri Perdana Menteri, perhatiannya tidak pernah teralih daripada hal-hal berkaitan kebajikan kanak-kanak terutamanya yang berada di luar bandar dan kurang berkemampuan. Sebagai seorang sarjana sosiologi, isu-isu jenayah, penderaan dan keganasan terhadap kanak-kanak sangat mengganggu mindanya. Beliau juga percaya bahawa gejala sosial dalam kalangan belia dan remaja berpunca daripada pendidikan yang tidak sempurna semasa mereka sedang membesar.

Sesibuk mana sekali pun, ibu kepada dua cahaya mata ini tidak menyerahkan anak-anak sepenuhnya kepada pengasuh. Beliau memastikan masa untuk bersama anak-anak terselit juga dalam jadualnya. Tidak dinafikan memang sukar bagi seorang ibu yang berkerjaya membahagikan masa antara kerja dengan keluarga, menyebabkan ada juga anak-anak kecil yang terabai daripada perhatian dan pendidikan ibu bapa sendiri.

Sungguh pun begitu, kekuatan naluri keibuan mengatasi segala aral melintang. Datin Paduka Seri Rosmah berjaya mendapat ilham untuk membantu ibu-ibu membentuk generasi yang berintelek dan berakhlak mulia serta menjaga perkembangan rohani, jasmani, sosial, kemahiran komunikasi dan kognitif bermula sejak kecil. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Berinspirasikan konsep "Kanak-kanak adalah permata negara", bermulalah perlaksanaan Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA. Visi beliau bukan sahaja terbatas kepada pembangunan kanak-kanak pintar, malah turut melibatkan pendidikan Tabika KEMAS yang memfokus kepada pendidikan awal kanak-kanak segenap lapisan masyarakat tanpa mengambil kira bangsa, agama dan budaya. Hal ini sejajar dengan konsep 1 Malaysia yang dilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Keharmonian peribadi dan usaha gigih beliau turut diungkap indah dalam sebuah madah warga Fakulti Pendidikan, UiTM.

Madah Buat Puteri Kuala Pilah

Betapa megah dan indah,
Betapa besar hati kedua-dua ibu dan ayah,
Mendengar tangis pertama seorang puteri bertuah,
Yang telah memecah keheningan alam Kuala Pilah,
10 Disember 1951, pastinya tarikh keramat terlakar sejarah...

Maka bermulalah sebuah episod indah,
Bakat dan kebolehan terserlah sudah,
Puteri jelitawan menyusun arah dan langkah,
Menjadi pelajar di Kolej Tunku Kurshiah,
Dari tahun 1964 hingga tahun 1970...

Cemerlang dengan pembelajarannya di sana,
Puteri ini melebarkan usaha memenuhi ilmu di dada,
Buat membalas keringat dan jasa ayah bonda,
Maka menjadi pelajar kursus Ijazah Antropologi dan Sosiologi di Universiti Malaya pula,
Dari tahun 1971 hingga tahun 1974.

Impian mendapat pendidikan tertinggi tersemat di hati,
Lalu digapai pantas si puteri jelitawan ini,
Maka di depannya sayap terbang jauh meninggalkan segalanya di sini,
Dalam kesedihan dan kesayuan dilepaskannya jari jemari yang memaut sanubari,
Seisi keluarga, ayah bonda, rakan taulan restu diberi,
Hingga sampailah di persada universiti tersohor pengajian diikuti,
Masters of Science in Sociology & Agriculture Extension di Louisiana State University, USA berlabuh sebuah perjuangan suci.

Berkat kegigihan puteri bertuah,
Cemerlang ia menamatkan kuliah,
Sering mendahului semua rakan sedarjah,
Lalu pulang membawa segulung ijazah,
Untuk ibu dan ayah tercinta sebagai hadiah.

Sekembalinya ke tanah air, beliau menabur jasa dan bakti kepada pertiwi. Bermula di Bank Pertanian Kuala Lumpur sebagai pegawai tertinggi, kemudian selama lima tahun beliau berkhidmat sebagai Business Development Manager di Island & Peninsular Bhd, Kuala Lumpur.

Itulah Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang kita kenali. Hingga kini usaha dan baktinya tidak pernah pudar. Telah mengalir darah daripada bonda yang cinta kepada pendidikan, menjadikan beliau amat sinonim dalam dunia pendidikan kanak-kanak. Bukan kerana kedudukannya sebagai isteri seorang Perdana Menteri, tetapi kerana rasa tanggungjawab membela dan mengangkat anugerah yang telah sedia ada di sanubarinya.

Begitu banyak pengorbanan dicurahkan demi perkembangan dan pembangunan anak-anak pertiwi yang dahagakan jasa dan budi. Kerana cinta kepada dunia kanak-kanak, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor muncul membawa sinar harapan secerah terbitnya suria pagi. Pendidikan kanak-kanak terus mendapat tempat di hatinya, melangkaui batas sama ada sempurna ataupun yang masih dalam terapi.

Mereka semua diberi apa yang perlu sebagai asas, dipupuk, dibelai, dimanja dan dikasihi kerana mereka bakal menerajui sebuah negara yang bermartabat tinggi, dihormati dan disegani. Selaras dengan kelulusan sosiologi yang dimiliki, beliau merasakan diri tidak lengkap jika tidak melakukan sesuatu untuk meletakkan pendidikan kanak-kanak di persada tertinggi.

Lalu lahirnya idea menubuhkan Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA. Beliau menggembleng segala sumber dan kekuatan sebagai Pengerusi. Tegas dan benar-benar dilaksanakan segala segi, agar masyarakat memahami dan mengakui bahawa PERMATA adalah wadah perjuangan suci yang dinikmati bukan sehari, tetapi sepanjang kehidupan.

Tatkala perhatian diberikan kepada kanak-kanak, tatkala mereka leka dalam manjaan, terutama yang kurang berupaya, terasa sekali kehangatan dakapan itu datang daripada seorang wanita pertama negara. Beliau tidak pernah kering keringat dan air mata dalam memberikan segala apa yang ada dan terdaya, demi kecemerlangan anak-anak negara.

Tabika KEMAS tidak pernah renggang dari sanubarinya. Segenap aspek perhatian diberi agar anak-anak di situ bisa menghirup nadi didikan bestari, supaya besar nanti mereka menjadi wira dan wirawati yang mampu melonjak maruah pertiwi. Bukan sahaja penubuhan sekolah dan institusi pendidikan diberi keutamaan, malah segala kerja amal yang melibatkan kanak-kanak turut menjadi inisiatif beliau.

Kerana jasa dan baktinya, kerana budi dan pekertinya, kerana pengorbanan dan keringatnya dalam membela kanak-kanak, beliau telah menerima pelbagai anugerah:

  • 2006 – Darjah Seri Setia Diraja Kedah dan Darjah Seri Paduka Tuanku Jaafar Yang Amat Terpuji

  • 2005 – Seri Paduka Mahkota Selangor dan Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan

  • 2004 – Sri Sultan Ahmad Shah Pahang

  • 2003 – Seri Indera Mahkota Pahang

Dalam dunia pendidikan kanak-kanak, Datin Paduka Seri Rosmah ibarat permata yang indah kilauannya, menerangi setiap gelita. Ibarat serakan awan di langit, menaungi setiap detik degupan jantung kanak-kanak.

Maka di atas segala budi dan jasa yang dicurahkan, beliau telah dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan sebagai tanda penghargaan kepada seorang anak watan yang tiada kenal erti jemu dan bosan.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM