Ijazah Kehormat Doktor Kerajaan dan Politik YABhg. Tun (Dr) Musa Hitam
Istiadat Konvokesyen ke 71 (2009)

Tun Musa Hitam dilahirkan pada 18 April 1934. Beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1981 hingga 1986 yang berkhidmat di bawah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau dilahirkan di Johor Bahru, Johor.

Tun Musa menerima pendidikan di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera daripada Universiti Malaya. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian peringkat tinggi dengan memperoleh Ijazah Sarjana daripada Universiti Sussex, United Kingdom.

Tun Musa tidak menyembunyikan perasaan dan prinsip hidup beliau yang tidak begitu selesa dengan penerimaan sebarang penganugerahan atau pengiktirafan tanpa makna dan mesej yang jelas, melainkan sekiranya beliau yakin dan percaya bahawa sebarang penganugerahan yang diberikan kepada beliau benar-benar mewakili perasaan beliau yang tidak berbelah bagi kepada pencapaian beliau yang sebenar-benarnya, berasaskan merit dan reputasi yang tulen.

Tidaklah menghairankan apabila sehingga kini, beliau amat berbesar hati untuk menerima penganugerahan hanya daripada beberapa institusi yang terpilih sahaja, khususnya ijazah kehormat daripada Universiti Sussex, Universiti Malaysia Sabah, dan Universiti Teknologi MARA.

Sumbangan dan jasa-jasa besar serta bermakna Tun Musa Hitam kepada negara tidak upaya dibalas dan disebut segalanya secara zahir. Pemikiran dan peranannya sebagai pemimpin dan negarawan melangkaui pemikiran dan kepercayaan konvensional, terutamanya dilihat dari sudut bidang dan disiplin kerajaan serta politik.

Beliau sangat dikenali sebagai pemimpin yang berprinsip dan sentiasa mengutamakan mutu, disiplin serta praktikaliti. Ungkapan beliau, “saya mengutamakan kesetiaan kepada parti dan negara” barangkali merupakan kata-kata hikmah yang mengukir konsep kepemimpinan transformasi dan altruisme yang menjulang kemurnian kepemimpinan beretika secara berfalsafah.

Dipandang dari sudut kepemimpinan, Tun Musa menghargai apa yang diungkapkannya sendiri yang disimpulkannya sebagai politik yang mengutamakan khidmat kepada rakyat, dan bukannya berorientasikan sama ada individualistik mahu pun kesetiaan berasaskan personaliti. Semuanya itu dikatakannya hasil daripada pengalaman hidup beliau yang berpeluang mengenali secara rapat kesemua Perdana Menteri Malaysia sejak kerajaan negara ini dipimpin oleh Perdana Menteri pertama, YTM Tunku Abdul Rahman.

Ketinggian kefalsafahan hidup beliau—yang diterjemah langsung kepada perilaku politik beliau selama bergiat aktif dalam kegiatan-kegiatan politik tanah air—dapat dilihat melalui penyertaan Tun Musa Hitam dalam banyak platform politik dan intelektualisme. Beliau telah dijadikan Fellow Malaysian Institute of Management serta dimuliakan sebagai ahli Lembaga Penasihat Journal of Diplomacy and Foreign Relations.

Di arena antarabangsa, Tun Musa Hitam telah diberi kepercayaan untuk menangani pelbagai jawatan dan kedudukan yang dihormati. Antaranya termasuklah Pengerusi Commonwealth Parliamentary Association, Ahli Lembaga UNESCO, Ketua Misi Komanwel ke Malawi, Pakistan dan Fiji, serta Ahli Delegasi Menteri-Menteri Komanwel ke Nigeria, Sierra Leone, Gambia dan Pakistan.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia kelima, serta sebagai Menteri Dalam Negeri antara tahun 1981 hingga 1986, Tun Musa telah dipertanggungjawabkan untuk menangani pelbagai jawatan utama kerajaan. Jawatan-jawatan tersebut termasuklah Pengerusi FELDA, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Menteri Perusahaan, dan Menteri Pelajaran.

Tun Musa juga merupakan Wakil Khas ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (antara 1990 dan 1991). Manakala antara tahun 1995 hingga 2002 pula, beliau merupakan Wakil Khas Perdana Menteri ke Kumpulan Bertindak Menteri-Menteri Komanwel.

Terdahulu, Tun Musa pernah diberikan tanggungjawab khusus sebagai Ketua Delegasi Negara dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia bermula pada tahun 1993 hingga 1998. Selain itu, beliau juga pernah diangkat sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia bagi sesi ke-52 pada tahun 1995.

Sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan serta jasa dan khidmat bakti mulia selama ini, Tun Musa dianugerahi gelaran tertinggi negara, Tun, oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sumbangan dan khidmat bakti Tun Musa pasti akan dipahat dan dikekalkan dalam sejarah pentadbiran kerajaan serta parti selama-lamanya. Atas pencapaian beliau yang melayakkan dirinya disanjung sebagai negarawan dan ahli politik berwibawa, Universiti Teknologi MARA dengan sukacita dan penuh bangga menganugerahkan kepada YABhg Tun Musa Hitam penghormatan yang setimpal.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM