Ijazah Sarjana Kehormat Teknologi Kreatif Encik Hassan Abd Mutalib 
Istiadat Konvokesyen ke 71 (2009)

 

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 3 November 1945, beliau merupakan anak sulung daripada lapan orang adik-beradik. Keluarganya berpindah ke Pulau Pinang, dan di sanalah beliau mendapat pendidikan sekolah sehingga tahun 1963.

Beliau mula terdedah kepada bidang seni melalui pembacaan komik yang dipinjam daripada rakan sekolahnya. Minat ini mendorongnya membaca kisah-kisah pengembaraan dan seterusnya karya sastera Inggeris. Selepas membaca kisah Abraham Lincoln yang berjalan sejauh 18 batu untuk meminjam buku, beliau juga sanggup berjalan 12 batu dari rumahnya ke perpustakaan Perkhidmatan Penerangan Amerika Syarikat (USIS) bagi meminjam buku secara percuma kerana tidak mampu membayar tambang bas.

Hasil daripada membaca sebuah buku setiap hari, penguasaan bahasa Inggeris dan pengetahuan amnya menjadi jauh lebih baik berbanding rakan-rakan sekolah serta guru-gurunya. Hassan juga berminat dengan seni lukis. Walaupun tidak mempunyai bakat semula jadi, beliau meniru lukisan-lukisan yang diminatinya, antaranya karya Andrew Wyeth, Norman Rockwell dan Winslow Homer. Lama-kelamaan, beliau menghasilkan gaya tersendiri sehingga dianggap sebagai seorang pelukis oleh rakan dan guru.

Pada tahun 1964, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja di Pasaraya Robinsons sebagai pembantu pelukis. Tugasnya melibatkan kerja-kerja penghiasan, lukisan papan tanda dan ilustrasi. Sekali lagi, beliau meniru idea daripada buku-buku dan majalah. Untuk promosi musim Krismas, beliau menyediakan lukisan sepanjang 95 kaki berdasarkan visual daripada filem animasi Walt Disney, Snow White and the Seven Dwarfs. Ini menjadi seolah-olah petanda awal penglibatannya dalam bidang animasi suatu hari nanti.

Pada tahun 1968, beliau menjadi Pelukis Grafik di Filem Negara. Hassan bermula dengan melukis tajuk filem dokumentari. Pada tahun 1972, beliau diminta oleh Ketua Pengarahnya untuk menulis skrip, melukis animasi dan mengarah filem pendek sempena perayaan Hari Krismas. Walaupun tanpa pengalaman, beliau menerimanya sebagai cabaran dan peluang untuk meneroka bidang baharu. Latar belakang sasteranya dan pengalaman melukis di Robinsons banyak membantu. Maka terhasillah filem animasi pendek khidmat awam pertama yang disiarkan di televisyen tempatan pada tahun 1970-an.

Untuk mempelajari teknik animasi, beliau meminjam filem animasi Disney daripada RTM dan meneliti setiap bingkai dengan menggunakan kaca pembesar. Beliau terus menghasilkan filem pendek khidmat awam yang menjadi begitu popular, antaranya Treler Nyamuk Aedes. Kejayaan filem-filem ini menjadikan Filem Negara terkenal pada tahun 1970-an melalui pengeluaran filem animasi.

Hassan kemudian menghasilkan filem animasi pendek Sang Kancil dan Monyet, yang masih diminati sehingga kini. Beliau menjadi perintis dalam pembikinan filem animasi pendek yang kemudiannya menjadi inspirasi kepada penghasilan siri animasi televisyen pada tahun 1990-an. Di samping itu, beliau turut melatih anggota Unit Animasi di Filem Negara yang terdiri daripada graduan Senireka dari UiTM.

Beliau kemudian beralih kepada pengarahan filem aksi hidup. Filem pertamanya memenangi Anugerah Idea Terbaik di Pertandingan Sri Angkasa anjuran RTM. Dokumentari pertamanya, Hasil Dari Rotan, memenangi Anugerah Juri untuk Dokumentari Terbaik di Festival Filem Asia-Pasifik di Jakarta. Beliau memohon bersara awal pada tahun 1995 selepas menjawat jawatan Ketua Senireka bagi terlibat dalam industri animasi secara langsung.

Pada tahun 1998, beliau menjadi penulis bersama, pengarah filem dan penyelia kesan visual bagi cereka animasi pertama Malaysia, Silat Legenda. Ramai animator yang dilatihnya semasa pembikinan filem ini kini menjadi pakar animasi, khususnya dalam penggunaan bahasa filem. Beliau juga terlibat dalam pembikinan filem iklan untuk pasaran dalam dan luar negara. Antara watak antarabangsa yang pernah dianimasikannya ialah Daffy Duck, Road Runner dan Wiley Coyote.

Beliau turut menjadi perintis dalam beberapa perkara, antaranya menubuhkan studio animasi pertama pada tahun 1982, menghasilkan tajuk animasi terpanjang untuk filem Mekanik, menghasilkan animasi watak kartun, serta menggabungkan watak animasi dengan aksi hidup buat pertama kali dalam filem cereka Mat Gelap. Selain itu, beliau juga merupakan juruanimasi pertama yang dilatih dalam bidang grafik tiga dimensi pada tahun 1987, serta juruanimasi pertama yang menggunakan perisian animasi dua dimensi untuk filem iklan.

Beliau pernah menjadi pensyarah sambilan di beberapa universiti terkemuka di dalam dan luar negara, seperti Universiti Lim Kok Wing, Universiti Multimedia, Universiti Malaya, Nanyang Technological University Singapura dan Volda University di Norway. Beliau juga pernah menjalankan bengkel di Sudan dan Brunei, serta menjadi perunding UNESCO di India.

Selain bidang animasi, pengkhususan beliau adalah dalam Semiotik Filem dan Aplikasi Bahasa Filem. Beliau sering diundang untuk membentangkannya di universiti serta studio-studio animasi tempatan. Hassan juga terlibat dalam penggubalan kurikulum bersama universiti, kolej, Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Beliau percaya kejayaannya sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pergaulannya dengan sarjana seperti Dr. Anuar Nor Arai, Dr. Wan Zawawi Ibrahim, Dr. Khoo Gaik Cheng dan Dr. Hatta Azad Khan.

Kini, beliau aktif membuat penyelidikan dan membentangkan kertas kerja di dalam serta luar negara mengenai wayang kulit dan bangsawan sebagai proto-sinema. Harapannya ialah agar generasi pembikin filem dan animasi akan datang dapat mengenali sejarah, seni tradisi, budaya dan warisan bangsa bagi menghasilkan karya yang benar-benar mempunyai nilai estetika serta identiti Malaysia.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM