Istiadat Konvokesyen ke 72 (2010)
Pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, lahirlah seorang tokoh agama dan politik tersohor kepada pasangan Datuk Ahmad Badawi Syeikh Abdullah Fahim dan Khailan Hassan. Putera sulung yang diberi nama Abdullah ini merupakan abang kepada dua adik lelaki dan seorang adik perempuan.
Keluarga Abdullah bukanlah keluarga berada, namun hidup mereka selesa. Zaman kanak-kanak dan remajanya dilalui dalam suasana desa, di sebuah rumah papan beratapkan zink di Kepala Batas yang ketika itu dikelilingi bendang sejauh mata memandang. Beliau membesar dalam keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Ayahandanya, Ahmad Badawi, ialah seorang guru agama, manakala datuknya Allahyarham Abdullah Fahim merupakan mufti Pulau Pinang serta pengasas Daeratul Ma’arif Al-Wataniah, sebuah sekolah agama berasrama penuh yang pertama di Malaysia. Ayahnya pula berperanan sebagai pengetua sekolah tersebut.
Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, sebelum melanjutkan ke Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam dan seterusnya ke Penang Methodist Boys School di Tingkatan Enam. Waktu siangnya dihabiskan di sekolah, manakala malam pula dipenuhi dengan pengajian agama dan Al-Quran, amalan yang kekal hingga ke hari ini. Malah sejak dalam kandungan, beliau sudah terbiasa dengan bacaan ayat-ayat suci alunan ibunya.
Pada ketika itu, Tanah Melayu masih di bawah penjajahan British. Peluang pendidikan bagi anak watan amat terhad, hanya diberikan kepada golongan bangsawan untuk menjadi pentadbir. Namun Abdullah berjaya menonjol sebagai pelajar pintar, sentiasa mendapat tempat pertama atau kedua dalam kelas. Sebagai anak seorang ustaz, beliau menguasai Pendidikan Islam, sejarah, dan bahasa dengan cemerlang.
Selepas tamat persekolahan, Abdullah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian di Universiti Malaya. Pada awalnya beliau berniat untuk menuntut dalam bidang ekonomi, namun akhirnya memilih Pengajian Islam, selaras dengan darah alim ulama yang mengalir dalam dirinya. Abdullah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pada tahun 1964. Dengan kelayakan ini, beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik, kemudian dilantik sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Namun, tragedi hitam 13 Mei 1969 menggugat kestabilan negara. Atas rasa tanggungjawab, beliau meninggalkan JPA dan menyertai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan oleh Tun Abdul Razak bagi mengembalikan keamanan selepas rusuhan tersebut. Beliau berkhidmat sebagai Ketua Penolong Setiausaha.
Kecekapan serta dedikasinya membawa Abdullah ke pelbagai jawatan penting, antaranya Pengarah dan seterusnya Ketua Setiausaha di Kementerian Belia dan Sukan. Politik sebenarnya sudah sebati dalam dirinya sejak remaja kerana pengaruh ayah dan datuknya yang aktif memperjuangkan kemerdekaan. Beliau mula menyertai UMNO sebaik tamat pengajian di UM, walaupun pada awalnya hanya sebagai ahli biasa.
Pada tahun 1977, ayahandanya yang juga wakil rakyat Kepala Batas meninggal dunia. Penduduk setempat melihat Abdullah sebagai pengganti yang paling layak. Beliau kemudian dipilih sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas dalam Pilihan Raya Umum 1978. Pada tahun yang sama beliau turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Jawatankuasa UMNO Pulau Pinang, dan setahun kemudian mengetuai UMNO Cawangan Bertam serta UMNO Bahagian Kepala Batas.
Jejak Kerjaya Politik Abdullah seperti sudah tertulis. Beliau dilahirkan untuk menjadi seorang pemimpin. Pada 31 Oktober 2003, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima.
| Tahun | Jawatan |
| 1978-1980 | Setiausaha Parlimen, Kementerian Wilayah Persekutuan |
| 1980-1981 | Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan |
| 1981-1984 | Menteri di Jabatan Perdana Menteri |
| 1984-1986 | Menteri Pendidikan |
| 1986-1987 | Menteri Pertahanan |
| 1991-1999 | Menteri Luar |
| 1999-2003 | Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan |
| 2003-2009 | Perdana Menteri Malaysia ke-5 |
Mengambil alih kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Abdullah menegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri bukanlah tiket untuk mengejar kekayaan dunia, sebaliknya amanah untuk berkhidmat kepada rakyat. Slogan beliau, “Bekerja dengan saya, bukan untuk saya”, menggambarkan kepimpinan yang sederhana, telus, dan berintegriti.
Antara tindakan awalnya ialah memperkukuh usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa, seterusnya memperkenalkan dasar Pelan Integriti Nasional (PIN) untuk memantapkan nilai etika dalam pentadbiran dan masyarakat. Beliau turut dikenali dengan gelaran “Mr. Clean” dan “Mr. Nice Guy”.
Selain itu, Abdullah memperkenalkan konsep Islam Hadhari, berlandaskan 10 prinsip utama:
-
Keimanan dan Ketakwaan kepada Allah S.W.T.
-
Kerajaan Adil dan Beramanah.
-
Rakyat Berjiwa Merdeka.
-
Penguasaan Ilmu Pengetahuan.
-
Pembangunan Ekonomi Seimbang dan Komprehensif.
-
Kehidupan Berkualiti.
-
Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita.
-
Keutuhan Budaya dan Moral.
-
Pemeliharaan Alam Semula Jadi.
-
Kekuatan Pertahanan.
Sepanjang pentadbirannya, Abdullah menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan nilai spiritual. Antara inisiatif pentingnya ialah Wilayah Ekonomi Koridor Pantai Timur, Wilayah Pembangunan Iskandar, dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara.
Selepas lebih 40 tahun bergiat dalam pentadbiran dan politik, Abdullah akhirnya bersara pada 3 April 2009. Walaupun singkat tempoh beliau sebagai Perdana Menteri, kepimpinan berlandaskan integriti, kesederhanaan, dan nilai Islam tetap dikenang oleh rakyat.
Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM