Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Mekanikal YBhg. Profesor Dato' Dr Mohd Mansor Haji Salleh 
Istiadat Konvokesyen ke 73 (2010)

Profesor Dato' Dr Mohd Mansor Haji Salleh dilahirkan pada 15 September 1944 di Kampung Selarong Batang, Simpang Empat, Kedah. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Simpang Empat sehingga darjah enam. Sebagai seorang pelajar pintar, beliau merupakan satu-satunya pelajar dari sekolah tersebut yang terpilih melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, Perak pada tahun 1957.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah rendah di STAR, beliau meneruskan pelajaran di Maktab Tentera Diraja Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur dari tahun 1961 hingga 1964. Pada tahun 1965, beliau berangkat ke United Kingdom untuk mengikuti pengajian ijazah pertama dalam bidang Metallurgy (Kajilogam) dengan tajaan biasiswa Kerajaan Persekutuan. Dengan tekad dan kesungguhan, beliau berjaya menamatkan pengajian di University College, Cardiff, Wales pada tahun 1969 dan menjadi anak Melayu serta rakyat Malaysia pertama yang memperoleh ijazah dalam bidang kajilogam.

Setahun kemudian, pada tahun 1970, beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Proses Kajilogam dan Pengurusan dari University of Birmingham. Semasa berada di tahun kedua pengajian di University College Cardiff, beliau mendirikan rumah tangga dengan Rokiah Abu Hassan, seorang gadis dari Negeri Sembilan. Kini usia perkahwinan mereka telah mencecah 43 tahun dan dikurniakan tiga orang anak: Siti Mahnun, Ahmad, dan Siti Khadijah.

Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1971, beliau menerima tawaran Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz, Naib Canselor Universiti Malaya ketika itu, untuk berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan. Pada tahun 1975, beliau kembali ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Manchester–UMIST dalam bidang Corrosion (Karatan) dengan tajaan Biasiswa Komanwel. Pada tahun 1978, beliau berjaya menjadi rakyat Malaysia pertama yang memperoleh PhD dalam bidang tersebut.

Sekembali ke tanah air, beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan (1979-1982) dan kemudian Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya (1982-1984). Walaupun terlibat dalam pentadbiran, beliau tetap aktif dalam pengajaran, penyelidikan dan perundingan. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengetua Kolej Kedua (1980-1984) dan Kolej Kelima (1974-1975) Universiti Malaya, membuktikan minat mendalam beliau dalam mendekati pelajar.

Dengan bimbingan Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz, beliau berjaya mengubah landskap Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya. Pada awalnya fakulti tersebut hanya mempunyai dua pensyarah Melayu daripada 55 orang serta dua pelajar Melayu daripada 700 orang. Namun, pada tahun 1984, jumlah pensyarah dan pelajar Melayu telah meningkat melebihi 50%. Beliau telah berjaya mengubah persepsi pelajar Melayu terhadap bidang kejuruteraan.

Pada Julai 1984, setelah 13 tahun berkhidmat di Universiti Malaya, beliau dipinjamkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Pengawal) Institut Piawaian dan Penyelidikan Industri Malaysia (SIRIM). Beliau mengurus seramai 750 staf profesional dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperkenalkan banyak perubahan dalam sistem penilaian R&D dan ujian mekanikal. Beliau turut menghantar ramai kakitangan Melayu melanjutkan pengajian sarjana dan PhD di dalam dan luar negara bagi mengambil alih kepimpinan SIRIM di masa hadapan.

Dua tahun kemudian, beliau dipinjamkan pula ke Institut Teknologi MARA (kini UiTM) sebagai Pengarah kelima dari tahun 1986 hingga 1993. Sepanjang tujuh tahun pentadbirannya, beliau membangunkan kampus-kampus baru di Lendu (Melaka), Segamat (Johor) dan Jengka (Pahang), serta mengenal pasti tapak kampus tambahan di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Di ITM, beliau dikenali sebagai seorang pengarah yang “low profile but controversial”. Beliau memperkenalkan pelbagai peraturan baru yang dianggap drastik, antaranya larangan merokok dalam kampus (ITM merupakan IPT pertama melaksanakan peraturan ini pada 1988), syarat wajib lulus kursus Keusahawanan, serta penetapan CGPA minimum 2.50 bagi pelajar yang ingin tinggal di asrama. Langkah-langkah ini meningkatkan jumlah pelajar tersenarai dalam Senarai Dekan lebih dua kali ganda. Beliau juga menekankan aspek kesihatan pelajar dengan membina pusat sukan lengkap bersama kolam renang tertutup dan memperkenalkan pakaian renang khas untuk wanita Islam.

Selain itu, beliau menubuhkan Pusat Islam di kampus Shah Alam dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam budaya ITM. Pendekatan disiplin dan ketegasan beliau ada kalanya menimbulkan kontroversi, namun terbukti memberi kesan positif dalam melahirkan graduan Melayu yang berkualiti, berakhlak mulia dan berwibawa.

Atas jasa dan sumbangannya, beliau telah dianugerahkan Darjah Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) oleh DYMM Sultan Kedah pada tahun 1989 dan Johan Setia Mahkota (JSM) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990. Beliau juga dilantik menganggotai pelbagai badan dalam dan luar negara termasuk Asian Institute of Technology (Bangkok), TECHNONET Asia, Pusat Daya Pengeluaran Negara, Tribunal Hak Cipta, Persatuan Badan Berkanun Malaysia dan ISTAC.

Selain sebagai ahli teknologi, beliau turut bergiat aktif dalam bidang bahasa dan penulisan. Beliau pernah menganggotai Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, serta mengetuai Jawatankuasa Istilah Kejuruteraan Antara Universiti. Beliau juga menjadi Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) selama 15 tahun (1985-2000).

Dalam bidang profesional, beliau mempelopori penubuhan Persatuan Kimpalan Malaysia (1987) dan Persatuan Sains dan Teknologi Bahan Malaysia (kini Institute of Materials Malaysia – IMM) pada tahun 1986. Beliau menjadi Presiden pertama IMM dan kini masih bersama sebagai Felo Kehormat.

Pada Disember 1993, beliau menamatkan perkhidmatan dengan ITM, UM dan kerajaan untuk menceburi bidang perniagaan melalui syarikat Logamahir Sdn. Bhd. yang menghasilkan cenderamata tembaga dan loyang. Beliau juga mengetuai beberapa syarikat di bawah DRB-HICOM Group, antaranya HICOM Diecastings Sdn. Bhd. dan Aluminium Alloy Castings Sdn. Bhd.

Namun, minatnya dalam pendidikan tidak pernah padam. Pada tahun 2004, beliau kembali berkhidmat di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sebagai Provos di UniKL Malaysian France Institute, kemudian Profesor di Institute of Product Design & Manufacturing (IPROM). Pada tahun 2009, beliau dilantik sebagai Dekan dan Ketua Kampus UniKL Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (MIMET), Lumut. Beliau terus mengajar hingga kini.

Sumbangan besar beliau dalam bidang kejuruteraan, akademik, pentadbiran dan bahasa akan terus dikenang sepanjang zaman. Atas kejayaan dan dedikasi beliau dalam memperjuangkan pendidikan anak Melayu, Universiti Teknologi MARA dengan penuh bangga menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Mekanikal kepada Profesor Dato' Dr Mohd Mansor Haji Salleh.

Sumber: Koleksi Penganugerahan Ijazah Kehormat UiTM