Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Mansor bin Haji Salleh dilantik sebagai Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM) menggantikan Dato’ Nik Abdul Rashid bin Nik Abdul Majid yang tamat tempoh pada 31 Ogos 1986. Pelantikan beliau berkuatkuasa pada 1 September 1986 hingga 31 Disember 1993.
Beliau dilahirkan pada 15 September 1944 di Kampung Selarong Batang, Simpang Empat, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Simpang Empat. Pendidikan tertinggi beliau adalah di peringkat Ph.D dalam bidang Karatan (Corrosion) dengan biasiswa Komanwel di Universiti of Manchester, England. Beliau merupakan anak Melayu pertama yang berjaya dalam bidang Kajilogam hingga ke peringkat Ph.D. Beliau pernah berkhidmat sebagai Pensyarah dan Timbalan Dekan di Universiti Malaya, Tenaga Pengajar Sambilan di Maktab Teknik (UTM), ITM dan UKM. Beliau juga pernah menjadi Ketua Eksekutif Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) pada tahun 1984 – 1986.
Dalam dasar pentadbiran beliau di ITM adalah dengan menerapkan nilai-nilai Islam dan menggalakkan kerjasama dalam kumpulan, penyertaan individu, keadilan dari segala segi dan membuat sebarang keputusan secara musyawarah. Untuk mencapai hasrat ini langkah utama yang beliau lakukan adalah menekankan disiplin diri para pelajar, kerana beliau yakin hanya dengan disiplin sahaja dapat membentuk peribadi yang baik untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik dan kehidupan mereka pada masa hadapan. Beliau berpegang teguh kepada falsafah bahawa “Allah Itu Menentukan Segalanya dan Maha Agung”.
Rujukan
1. ITM Warisan Bangsa Peristiwa Penting ITM 1956-1980
2. Shaping a Dream (1956-1999)