Dato’ Nik Abdul Rashid bin Nik Abdul Majid dilantik menerajui Institut Teknologi MARA (ITM) menggantikan Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had bin Salleh yang tamat tempoh pada 15 Julai 1980. Beliau berkhidmat di ITM pada 16 Julai 1980 sehingga 31 Ogos 1986.
“Pak Nik” itulah nama panggilan mesra dan popular di kalangan para pelajar ITM pada ketika itu. Selama enam tahun beliau menerajui ITM, telah banyak sumbangan yang tidak ternilai harganya dengan terbinanya bangunan Kajian Senilukis dan Seni Reka dan Kajian Perniagaan dan Pengurusan.
Beliau dilahirkan di Kelantan pada 24 September 1936. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Langgar, Kelantan pada tahun 1942 dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab Islah juga di Kelantan. Pendidikan tertinggi beliau adalah di University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dalam jurusan Sarjana Pentadbiran Awam. Beliau pernah berkhidmat di Jabatan Ukur Kelantan sebagai juruteknik (1955-1956), Universiti Malaya sebagai penolong pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran dan dinaikkan pangkat pensyarah pada tahun 1972.
Dato’ Nik Abdul Rashid telah berjaya menyambung usaha pengarah-pengarah ITM sebelumnya. Dibawah pentadbiran beliau, ITM juga telah berjaya menubuhkan Unit Arkib. ITM patut berbangga dengan pencapaian ini kerana ia merupakan Pusat Pengajian Tinggi yang pertama di Malaysia menubuhkan Unit Arkibnya sendiri.
Pada tahun 1985 beliau telah dikurniakan Pingat Dato’ Paduka Mahkota Perlis (D.I.M.P) oleh Raja Perlis dan pada tahun yang sama juga beliau menerima Pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) oleh Sultan Pahang yang membawa kepada gelaran Dato’. Penganugerahan ini sebagai mengenang jasa-jasa beliau yang tidak pernah jemu memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada anak bangsa dan tanah airnya sendiri.
Rujukan
1. ITM Warisan Bangsa Peristiwa Penting ITM 1956-1980
2. Shaping a Dream (1956-1999)