Istiadat Konvokesyen UiTM ke 78 (2013)
Di tanah air tercinta ini, ramai usahawan Melayu terlahir daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan pada tahun 1971. Lantaran itu, ramai juga yang berjaya melebarkan sayap merentas buana hasil daripada dasar kerajaan yang bermatlamat mewujudkan kelompok bumiputera yang berdaya saing, berdaya maju dan berupaya mendepani cabaran dalam pelbagai bidang perniagaan.
Hakikatnya, DEB telah berjaya mendorong ramai usahawan Melayu untuk sampai ke puncak. Namun, tidak ramai yang terpanggil untuk menapak ke tahap seterusnya agar nikmat kekayaan yang diperolehi dapat dikongsi, bukan sahaja bersama ahli keluarga dan sahabat handai, bahkan dengan kelompok masyarakat yang memerlukan. Tidak ramai yang sanggup menterjemah kejayaan mereka melalui sumbangan kepada masyarakat dan alam sekitar secara teratur dan berterusan.
Sesungguhnya, Yang Berbahagia Tan Sri Datuk (Dr) Haji Mustapha Kamal bin Haji Abu Bakar tergolong dalam kelompok kecil usahawan bumiputera yang melestari tanggungjawab sosial. Ia menjadi tanda kesyukuran atas nikmat Allah SWT, serta tanda terima kasih kepada kepimpinan negara yang telah membuka laluan kepada beliau untuk terus berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.
Pendedahan awal semasa zaman kanak-kanak, ketika beliau membantu datuknya menjual sayur di pasar Ipoh setiap kali cuti sekolah, sedikit sebanyak memupuk minat Tan Sri Mustapha Kamal untuk menceburi bidang perniagaan.
Beliau dilahirkan pada 18 Mac 1949 di Kampung Changkat, Pusing, Daerah Batu Gajah, Perak Darul Ridzuan. Anak sulung daripada lima beradik ini menghabiskan zaman persekolahannya di Banting, Selangor, di mana bapanya berkhidmat sebagai penjawat awam.
Semasa bersekolah di Methodist English School, Banting, beliau aktif dalam Persatuan Pengakap. Pengalaman sebagai ahli pengakap membentuk peribadinya untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, selari dengan moto Be Prepared.
Pada usia 13 tahun, bakat beliau dalam bidang muzik mula terserlah. Beliau bukan sahaja mahir bermain gitar, bahkan pandai bermain piano walaupun tanpa pendidikan formal. Minat mendalam itu mendorong beliau menubuhkan kugiran sendiri, The Koshian, yang pernah mengiringi persembahan pasangan legenda P. Ramlee dan Saloma.
Walaupun aktif dalam muzik, kedua ibu bapanya tetap memberi penekanan kepada pelajaran. Hasil dorongan tersebut, beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sejarah dari Universiti Malaya pada tahun 1970.
Kembara kerjaya Tan Sri Mustapha Kamal bermula sebagai Penolong Pegawai Daerah di Selangor, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor. Beliau kemudian berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Shah Alam Properties Sdn. Bhd. (SAP), anak syarikat Kumpulan Perangsang milik Kerajaan Negeri Selangor.
Pada tahun 1983, beliau menongkah arus dengan meninggalkan sektor awam untuk menceburi dunia keusahawanan. Beliau menubuhkan Kumpulan Syarikat EMKAY pada usia 34 tahun, sekali gus memulakan perjalanan sebagai seorang ahli korporat. Berbekalkan pendidikan tinggi, pengalaman luas, serta semangat juang yang kental, beliau terus berkembang hingga menjadi pemegang saham utama di MK Land Holdings Berhad dan Setia Haruman Sdn. Bhd., pemaju utama Cyberjaya.
Didikan awal daripada ibu bapa dan datuknya membentuk peribadi Tan Sri Mustapha Kamal sebagai seorang yang berpegang teguh kepada adat Melayu, serta berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Nilai-nilai murni ini diterapkan dalam kehidupan keluarga dan juga dalam budaya kerja Kumpulan EMKAY.
Beliau menekankan prinsip keikhlasan, ketelusan, keadilan, integriti, kesederhanaan, serta kepentingan keluarga. Sebagai nakhoda EMKAY, beliau tidak hanya menasihati, tetapi turut mempamerkan teladan dengan turun padang bersama warga kerja.
Rasa kesyukuran beliau diterjemah melalui pelbagai inisiatif kemasyarakatan, antaranya pendidikan untuk golongan terpinggir seperti masyarakat Orang Asli dan anak-anak jalanan, penubuhan pusat dialisis, pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar khususnya orang utan, serta pembinaan tempat ibadah dalam dan luar negara.
Kesungguhan ini diperkukuhkan melalui penubuhan:
-
Yayasan Pulau Banding
-
Yayasan EMKAY
-
Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah
Beliau sentiasa meluangkan masa, tenaga, serta menyediakan dana dan prasarana untuk menjayakan setiap projek kemasyarakatan yang dipelopori.
Sejak menubuhkan EMKAY pada tahun 1983, beliau telah memacu pelbagai projek pembangunan hartanah dalam dan luar negara, antaranya:
-
Taman Meru Jaya, Selangor (1983)
-
Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor (1985)
-
Serendah Golf Resort, Selangor (1988)
-
Taman Bukit Mas, Kuala Lumpur (1991)
-
Namibia, Afrika (1993)
-
Bukit Merah Laketown, Perak (1995)
-
Taman Bunga Raya, Selangor (1995)
-
Taiping Golf Resort, Perak (1995)
-
Damansara Perdana, Selangor (1996)
-
Bandar Lembah Beriah, Perak (1996)
-
Cyberjaya, Selangor (1997)
-
Damansara Damai, Selangor (1998)
-
Taman Bercham Jaya, Perak (1999)
-
Taman UK Raya, Ipoh (2000)
-
Langkawi Lagoon Resort, Kedah (2000)
-
Taman Klebang Putra, Ipoh (2003)
-
Neo Damansara, Selangor (2005)
-
MKN Embassy Techzone, Cyberjaya (2005)
-
NeoCyber, Cyberjaya (2006)
-
Belum Rainforest Resort, Perak (2007)
-
Meru Perdana, Ipoh (2010)
-
Wisma Mustapha Kamal, Cyberjaya (2011)
-
Mercu Mustapha Kamal, Damansara Perdana (2013)
-
Star Central, Cyberjaya (2013)
-
Autoville, Cyberjaya (2013)
-
Rumah Mampu Milik (Sterling Prima), Cyberjaya (2013)
Kejayaan beliau dalam bidang hartanah dan keusahawanan disusuli dengan pelbagai pengiktirafan, antaranya:
-
Anugerah Usahawan Cemerlang Selangor (1995/96)
-
FIABCI Property Man of the Year (1997)
-
Anugerah Personaliti Cemerlang Industri Pembangunan (2001)
-
Anugerah Fellowship DPMMKL (2002)
-
Ernst & Young Entrepreneurship Award (2002)
-
Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak (2003)
-
Platinum Award (2005)
-
Presidential Award (2006)
-
Bintang Semangat Rimba Perak, Pengakap (2011)
-
Malaysian Tatler - Diamond of Excellence Award (2011)
-
BrandLaureate Brand ICON Leadership Award (2011)
-
Anugerah Caring Hearts, Persekutuan Pekak Malaysia (2012)
-
Lifetime Achievement Award (2012)
Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Utara Malaysia (2004–2008), serta memegang pelbagai jawatan amanah di yayasan dan badan kebajikan.
Beliau turut menerima penganugerahan:
-
Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan daripada Universiti Teknologi MARA
-
Ijazah Kehormat Doktor Pembangunan Hartanah Lestari daripada Universiti Utara Malaysia (2012)
Sumber : Edisi Khas Sempena Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan dan Keusahawanan kepada Tan Sri Datuk Hj Mustapha Kamal bin Hj Abu Bakar. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM Shah Alam