Wira-WIra Everest bersama Perdana Menteri

UiTM telah melakar sejarah dengan kejayaan dua orang mahasiswa iaitu Muhammad Muqharabbin Mokhtaruddin dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dan Ahmad Reduan Rozali dari Fakulti Sains Gunaan yang berjaya menawan puncak Everest dengan ketinggian 8,850 meter pada 16 Mei 2004 jam 8.35 pagi (10.50 pagi waktu Malaysia).

Dengan kejayaan ini mereka berdua telah mengharumkan nama Malaysia khususnya UiTM dengan meletakkan nama mereka sebagai pendaki termuda Malaysia (Melayu pertama) yang sampai ke puncak Everest. Mereka juga telah dinobatkan sebagai mahasiswa pertama dari Asia Tenggara yang menakluk puncak tertinggi di dunia itu.

Dengan kejayaan tersebut satu majlis sambutan rasmi telah diadakan pada 22 Jun 2004 di Stadium UiTM Shah Alam yang diserikan dengan kehadiran Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Para tetamu kenamaan yang turut sama hadir dalam majlis gilang gemilang tersebut antaranya Y.A.B. Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, Menteri Pengajian Tinggi, Y.B. Dato’ Dr. Mohd Shafie Salleh, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman serta Naib Canselor UiTM, Dato’ Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah.

Dalam majlis tersebut saudara Muhammad Muqharabbin dan Saudara Ahmad Reduan telah diarak dengan pacuan Storm yang dihias menjadi replika Gunung Everest sambil diiringi oleh lima buah motosikal berkuasa tinggi. Perarakan ini diiringi dengan paluan Rebana Ubi serta berjalan kaki mengikut adat istiadat Panglima Melayu hingga sampai ke pentas utama.

Kemuncak kepada majlis ini adalah sesi penyerahan sijil Malaysia Book of Record kepada kedua-dua Wira Negara ini oleh YBhg. Dato’ Danny Ooi, Pengarah Urusan Malaysia Book of Record.

 

 

Perarakan Wira Everest ke Stadium UiTM               Sesi penyerahan sijil Malaysia Book of Record

 

Sumber:

  • Informasi UiTM Mei- Jun 2004, Bil 15
  • Buku Sambutan Ulang Tahun Pertama Kejayaan Pendakian Gunung Everest, 2005
  • Koleksi Gambar Jabatan Arkib Universiti