Sekitar Majlis Perasmian UiTM Cawangan Pulau Pinang

Majlis Perasmian UiTM Cawangan Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi pada 7 Mac 2004 bersamaan 15 Muharam 1425H bertempat di UiTM Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Menurut Pengarah Kampus UiTM Cawangan Pulau Pinang, Dato' Prof Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, kewujudan UiTM Cawangan Pulau Pinang bukanlah sekadar untuk mengajar anak-anak bangsa di dalam kelas, malah kewujudannya dilihat sebagai faktor penyumbang bagi memajukan kawasan di sekitarnya yang sekaligus telah berupaya membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat setempat.

UiTM Cawangan Pulau Pinang mula beroperasi pada 16 Jun 1996 di kampus sementaranya di Permatang Pasir dengan enrolmen pelajar pertama seramai 230 orang. Mereka telahpun menamatkan pengajian pada Mei 1999. Antara program-program yang ditawarkan di UiTM Cawangan Pulau Pinang adalah Kejuruteraan Eletrik, Mekanikal dan Awam di peringkat diploma. Program lain yang turut ditawarkan ialah program Pengurusan Hotel dan Pelancongan. Kampus baru ini berupaya menempatkan 10,000 orang pelajar.

Pada majlis yang bersejarah itu, YAB Dato' Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi turut merasmikan Pusat Kecemerlangan UiTM Cawangan Pulau Pinang yang menempatkan beberapa pusat penyelidikan utama antaranya NACREM (National Centre for Rural Engineering Malaysia), WAREM (Water Resources Engineering and Management Research Centre) dan PENRIVERS (Penang Rivers Society).

Majlis ini juga dimeriahkan dengan program-program pameran dari Jabatan Komunikasi Korporat & Perhubungan Antarabangsa dan Bahagian Pengurusan Arkib dan Muzium, UiTM.

 

 

Ketibaan Perdana Menteri disambut meriah oleh para hadirin

Sumber:

  • Informasi UiTM Mac- April 2004, Bil. 14
  • Melakar Peristiwa, 2012