Pelancaran simbolik: YBhg Dato Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah menurunkan tandatangan sambil diperhatikan Pengarah CITU, Prof. Madya Hj. Musa Ahmad dan Ustaz Mohd Nor.

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) yang dirasmikan oleh Naib Canselor YBhg. Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah pada 13 Januari 2004 bersamaan 20 Zulkaedah 1424H akan membantu peranan Pusat Pendidikan Islam (PPI) UiTM menjadi "platform" dalam memantapkan lagi kesarjanaan dan ketamadunan Islam di peringkat UiTM hingga ke peringkat nasional dan juga antarabangsa. YBhg. Dato Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah, Naib Canselor yakin cita-cita ini akan dapat direalisasikan dengan adanya permuafakatan yang jitu dari semua pihak. Perasmian CITU berlangsung di INTEKMA Resort and Convention Centre, Shah Alam. Dengan penubuhan CITU, pengajaran dan pembelajaran kursus pendidikan Islam diharap dapat diperkukuhkan selari dengan kehendak visi dan misi UiTM.

CITU diketuai oleh seorang Pengarah iaitu Prof. Madya Hj. Musa Ahmad yang bertanggungjawab secara terus kepada Naib Canselor. Beliau dibantu oleh dua Timbalan Pengarah iaitu Timbalan Pengarah bagi Jabatan Pendidikan Islam dan Tamadun, Prof. Madya Mohd Asri Abdullah dan Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam, Ustaz Subkhi Shaien.

Jabatan Pendidikan Islam dan Tamadun berfungsi untuk menggubal kursus Pendidikan Islam mengikut pelan pengajian fakulti dan juga keperluan universiti. Jabatan ini terbahagi kepada lapan unit. Setiap unit itu diketuai oleh seorang Koordinator.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam pula berfungsi untuk mengendalikan hal ehwal pembangunan dan mengagihkan dana zakat kepada warga UiTM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pusat Zakat Selangor. Selain itu ia juga diwujudkan untuk membangunkan harta sedekah atau wakaf dan memantau program program keagamaan yang diadakan di semua surau di universiti ini.

Menurut Pengarah CITU, Prof. Madya Hj. Musa Ahmad, objektif penubuhan CITU adalah juga untuk menyusun semula struktur dan program khidmat profesional kemasyarakatan seperti pengurusan zakat, pengurusan masjid, khidmat nasihat agama dan juga quaman syarie. Dalam masa yang sama, CITU juga ditubuhkan untuk memperkukuhkan lagi aktiviti penyebaran ilmu dan pemikiran serta kefahaman Islam melalui program-program akademik dan juga bukan akademik.

 

Pengarah CITU, Prof. Madya Hj. Musa, Ahmad menyampaikan cenderamata kepada YBhg. Naib Canselor, Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah.

Ucapan perasmian oleh YBhg. Naib Canselor, Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah.

 

Sumber:

  • Informasi UiTM Jan- Feb 2004, Bil. 13