ITM Pahang dengan rasminya dinobatkan sebagai sebuah lagi kampus cawangan ITM pada 13 Ogos 1996. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YB. Menteri Pendidikan Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak. Majlis ini mencatatkan sejarah kerana Dato' Seri Najib juga yang telah merasmikan kampus sementara ITM Pahang di Kuantan pada 1 Januari 1985 dahulu semasa memegang tampuk pentadbiran negeri Pahang sebagai YAB Menteri Besar Pahang pada ketika itu.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan tentang rancangan pengkorporatan ITM sebagai usaha untuk menjadi institusi terulung dalam bidang pendidikan. Menurut beliau, walaupun ITM hanya dikenali sebagai sebuah institusi pendidikan, namun keupayaannya dalam melahirkan graduan ijazah sarjana muda hingga ke doktor falsafah menjadikannya sebuah institut yang unik. Tambah beliau lagi, pembangunan yang ditunjukkan ITM menandakan jaminan terhadap maruah dan kedaulatan bangsa Melayu. Dato’ Seri Najib

Tun Abdul Razak turut menyatakan bahawa pendidikan yang disediakan oleh ITM dapat diterima baik memandangkan graduan lepasan ITM sentiasa mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan. Ini merupakan hasil daripada pemfokusan penyelarasan dalam melahirkan graduan yang dapat memenuhi kehendak semasa.

Dalam kenyataan akhbar berhubung majlis perasmian tersebut, Dato' Dr. Ir. Haji Ahmad Zaidee Laidin turut menyentuh peranan ITM Pahang yang aktif dalam pembangunan masyarakat setempat. Tokoh-tokoh pendidik ITM juga turut menyumbangkan kepakaran mereka dalam bidang penyelidikan dan tenaga profesional kejuruteraan di sektor industri di negeri Pahang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah barisan pemimpin tertinggi Dewan Undangan Negeri Pahang, Pengerusi Majlis ITM Pahang, Datuk Wira Abdul Rahman Arshad dan ahli-ahli Majlis ITM.

 

 

Sumber:

  • Berita ITM tahun September 1996
  • Melakar Peristiwa, 2012