Sekitar Majlis Pelancaran Syiling Ulang Tahun ke-50 UiTM
Syiling Ulang Tahun ke-50 UiTM telah dilancarkan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Dr. Sulaiman Hj. Daud pada jamuan makan tengah hari pada 9 November 2006. Pelancaran bersama buku 'Driving Socio-Economic Development Through Education’ adalah sebahagian daripada perayaan untuk memperingati Ulang Tahun Ke-50 UiTM. Syiling Ulang Tahun ke-50 UiTM ini telah dirancang khas untuk memperingati peristiwa bersejarah UiTM sepanjang 50 tahun yang menyumbang ke arah pembangunan pelbagai industri dalam ekonomi Malaysia yang pesat membangun.
Reka bentuk bahagian depan duit syiling ini memaparkan lambang rasmi UiTM sebagai motif utama manakala perkataan “Universiti Teknologi Mara” diukir dalam tulisan rumi di kedudukan atas dan tulisan Khat Nasakh di kedudukan bawah duit syiling. Sementara reka bentuk bahagian belakang duit syiling ini memaparkan logo rasmi sambutan jubli emas UiTM dengan perkataan "JUBLI EMAS UiTM 2006" di kedudukan atas. Tujuh biji manik di sisi kanan dan kiri pula menggambarkan 14 kampus cawangan UiTM di seluruh Malaysia. Perkataan "BANK NEGARA MALAYSIA" dan nilai muka duit syiling dipaparkan di kedudukan bawah duit syiling. Reka bentuk ini mengambarkan UiTM sebagai universiti berprestij di Malaysia yang menegakkan hak-hak Bumiputera.
Majlis ini dihadiri oleh Pro-Canselor, Lembaga Pengarah UiTM, Naib Canselor dan pegawai kanan UiTM. Antara tetamu yang hadir adalah Naib Canselor dari sebilangan universiti Eropah, Asia dan Australia. Turut hadir ialah kenamaan asing termasuk Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi.
Sumber :
- Informasi UiTM Sept-Dis 2006, Bil. 26.
- Koleksi Gambar Jabatan Arkib Universiti