Majlis Istiadat Peletakan Batu Asas ITM Cawangan Terengganu telah diadakan pada hari Khamis 19 Oktober 1978 bertempat di Sura Hujung, Dungun Terengganu. Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Terengganu telah berkenan mencemar duli dan berangkat melakukan upacara tersebut. Baginda Al-Sultan diiringi oleh D.Y.M.M. Tuanku Ampuan Besar, Duli Yang Teramat Mulia Yang DiPertuan Muda dan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Muda yang turut sama berangkat ke majlis tersebut.

Upacara yang gilang gemilang dan penuh warna warni itu bermula pada jam 3.30 petang dengan ketibaan para jemputan, para tetamu kehormat yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan ITM. YBhg. Datuk Mansor Othman, selaku Pengerusi Majlis ITM dan Datin Halimah, Encik Zahani Tan Sri Ahmad, Timbalan Pengerusi Majlis ITM dan Puan Khatijah Ahmad, Ahli Majlis ITM, telah turut sama hadir menyerikan majlis tersebut. Mereka menyambut ketibaan D.Y.M.M. Al-Sultan dan D.Y.M.M. Tuanku Ampuan Besar pada jam 4.00 petang. Turut sama menyambut ialah YBhg. Dato’ Pengarah ITM dan Pengetua ITM Cawangan Terengganu, Encik Ibrahim Ismail.

Dalam titah ucapannya Baginda Al-Sultan menyatakan rasa gembiranya atas penubuhan Kampus Cawangan ITM di Dungun, Terengganu. Baginda berharap ITM akan terus berjaya memainkan peranannya mendidik kaum bumiputera untuk memboleh dan melengkapkan diri mereka bagi memainkan peranan yang lebih penting dalam pembangunan negara.

Y.A.B Menteri Besar Terengganu dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa dengan penubuhan Kampus Cawangan ITM di atas tapak seluas 340 ekar itu adalah merupakan satu perkembangan yang sangat dibanggakan oleh rakyat Terengganu. Dengan ini Terengganu yang kaya dengan pemandangan dan keindahan alam semula jadi akan maju setapak lagi usaha membanyakkan projek pembangunannya.

Upacara Peletakan Batu Asas berlangsung pada jam 4.35 petang. Setelah menandatangani buku pelawat ITM, D.Y.M.M. Baginda Al-Sultan telah dihadiahkan sebuah potret wajah Baginda yang telah dilukis khas oleh seorang penuntut tahun dua Diploma Senilukis ITM, Shah Alam.

 

Gambar sekitar Majlis Peletakan Batu Asas oleh D.Y.M.M. Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan Terengganu pada 19 Oktober 1978 di Sura Hujung, Dungun Terengganu.

 

Sumber :

  • Warta ITM Oktober 1978.
  • Melakar Peristiwa: Pengkisahan Sejarah Kampus-Kampus ITM – UiTM, 2012.