Pengisytiharan Institut Teknologi MARA (ITM) kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah diumumkan pada 26 Ogos 1999 oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam Perhimpunan Perdana Siswazah Institut Teknologi MARA bersama Perdana Menteri yang dihadiri lebih daripada 15,000 pelajar, alumni dan staf di Stadium Melawati, Shah Alam.  Dengan perubahan status ini, logo UiTM telah diperkenalkan bagi menggantikan logo ITM yang terdahulu. Professor Dr. Ahmad bin Zainuddin, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan selaku Professor di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mereka bentuk logo UiTM.

Majlis pelancaran logo baharu UiTM telah diadakan pada 11 November 1999 di Kementerian Pendidikan Malaysia yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Wira Abdul Rahman Arshad, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Hj. Ahmad Zaidee Laidin dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan dan UiTM.

Dalam teks ucapan Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak yang disampaikan oleh Timbalannya, Datuk Khalid Yunus, mengenai logo baharu ini, beliau berkata, “keseluruhan bentuknya masih mengekalkan identiti keilmuan dan gedung budaya ilmu kekal berpanjangan”. Beliau berkata lagi, “sejak penubuhannya, UiTM adalah simbol maruah perjuangan dalam Pendidikan Bumiputera dan akan sentiasa menjadi perjuangan dan pencapaian pendidikan kaum Bumiputera”. Tambah beliau, “kita perlu mempertahankan organisasi ini sebagai sebuah pusat pengajian tinggi unggul khas untuk Bumiputera supaya UiTM menjadi sinonim kepada kejayaan Bumiputera dalam bidang Pendidikan pada peringkat tertinggi di Malaysia”.

Logo dan nama baharu UiTM telah digunakan secara rasmi pada Majlis Konvokesyen ke-50 UiTM yang diadakan pada 13 hingga 18 November 1999.

 

Sekitar Majlis Pelancaran Logo UiTM pada 11 November 1999 di Kementerian Pendidikan Malaysia

 

Sumber :

  • Info ITM Nov 1999.
  • Buku Achieving a dream, 2006.
  • Buku Documenting A Destiny 1956-2006, History of Universiti Teknologi MARA, 2006.