Dasar Pandang Ke Timur (DPT) atau Look East Policy telah dilancarkan oleh YB. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia ke-4 pada 8 Februari 1982. Ia telah memberi peluang kepada rakyat Malaysia mempelajari etika kerja dan budaya dua buah negara di Timur iaitu Jepun dan Korea. Ketika DPT dilancarkan beberapa latihan atau kursus telah diperkenalkan bagi menjayakan DPT. Antaranya termasuklah Latihan Perindustrian dan Teknikal (In-plant Training), Program Pengajian Akademik (Rancangan Persediaan Khas Jepun, Kursus Teknikal Jepun, Program Persediaan Korea), Program Kemajuan Eksekutif, dan Skim Latihan Pembangunan Usahawan. Latihan ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada anak muda Malaysia.
Untuk menjayakan DPT, Institut Teknologi MARA (ITM) juga telah diberi peranan utama mengendalikan kelas bahasa selama 6 bulan kepada pelatih latihan industri sebelum berangkat ke Jepun dan Korea. Pengambilan pertama kumpulan latihan industri ke Jepun telah dibuat pada tahun 1982, sementara kumpulan ke Korea bermula pada tahun 1983. Pada tahun 1990, ITM telah diberi tanggungjawab menyediakan persiapan kepada kumpulan guru tajaan JPA sebelum berangkat ke Jepun. Pada tahun 1995 tiga daripada sepuluh orang guru kumpulan pertama yang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Bahasa Jepun dari 1990-1995 telah ditempatkan
oleh JPA di Pusat Pendidikan Persediaan (PPP) ITM untuk menjayakan Program DPT, ITM.
Pada tahun 1990 ITM juga telah diberi tanggungjawab membuat persiapan kepada kumpulan Teknikal Jepun yang akan mengikuti kursus diploma di Jepun. Bagaimanapun kursus ini dipindahkan ke Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) pada tahun 1992. Pada tahun 2009, kursus ini dikembalikan semula kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) di INTEC Education Center (INTEC) UiTM. Pelajar kumpulan ini menjalani kursus selama dua tahun di Malaysia. Mulai tahun 2000, program akademik ke Korea juga telah dijalankan di PPP UiTM. Pelajar program ini mengikuti kursus 9 bulan sebelum berangkat.
Di UiTM, pada awalnya Program DPT ini telah diletakkan di bawah Pengurusan Pusat Bahasa (kini Akademi Pengajian Bahasa/APB), kemudian dipindahkan ke PPP ITM (kini INTEC). Program DPT PPP ITM telah beroperasi di beberapa premis seperti di Wisma Belia Kuala Lumpur, Maktab Perguruan Lembah Pantai Kuala Lumpur dan di Women Institute Jalan Othman, Petaling Jaya. Pada 1985 keseluruhan kursus dilangsungkan di Wisma Belia, Kuala Lumpur hingga dipindahkan ke UiTM Kampus Seksyen 17 Shah Alam pada tahun 2003. Sesungguhnya UiTM telah memainkan peranan yang penting bagi melestarikan DPT.
NAMA KUMPULAN | TEMPOH PELAKSANAAN | JUMLAH |
Kumpulan Latihan Industri (In-plant training) Jepun | Feb 1992 - Ogos 2004 | 3270 pelatih |
Latihan Industri Korea | 1983 - 1996 | 291 pelatih |
Kumpulan Guru Lepasan Maktab Perguruan |
Kohort 1: 1990 - Mac 1998 Kohort 2: Feb 2003 - Mac 2008 |
101 guru 45 guru |
Kumpulan Teknikal Jepun (Akademik) |
1990 - 1991 (123) 2009 - 2021 (813) |
936 pelajar |
Program Akademik Korea | 2000 - 2021 | 1464 pelajar |
JUMLAH : 6107 pelajar
Sumber :
- Prof. Madya Hj. Mohd Hassan Awang Boon PJK, APB, UiTM.
- Prof. Madya Hjh. Nur Anisah Tan bt. Abdullah, APB, UiTM.