Pada 10 November 2006, telah diadakan Majlis Perasmian Galeri Tun Abdul Razak (GTAR) yang bertempat di Dataran Menara Sultan Abdul Aziz Shah, UiTM. Perasmian GTAR ini telah disempurnakan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dengan adanya GTAR dibawah seliaan Bahagian Arkib dan Muzium, Pejabat Pendaftar UiTM, urusan pemeran dan pengurusan bahan-bahan bersejarah UiTM menjadi lebih sistematik.
Dengan itu, segala maklumat bersejarah universiti tidak lagi hanya tersimpan, malah kini boleh dipamerkan untuk orang ramai agar mereka dapat menghayati pembangunan bangsa yang penuh dengan cabaran.
Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan semasa Majlis perasmian ini ialah lawatan ke GTAR, lawatan ke pameran khas "Allahyarham Tun Abdul Razak Dalam Kenangan", penyampaian cenderahati, dan jamuan raya bersama warga UiTM.
Kini GTAR telah menjadi sebahagian daripada Jabatan Arkib Universiti, Perpustakaan Tun Abdul Razak malah koleksi-koleksi yang dipamerkan juga telah didigitalkan dan boleh diakses melalui UiTM e-Gallery Repository. Selain itu, GTAR juga sedang giat menjalankan Kempen Derma Koleksi bertujuan untuk memelihara dan memulihara koleksi UiTM yang dihadiahkan supaya dapat dirujuk pada masa hadapan. Kempen Derma Koleksi ini terbuka kepada seluruh warga UiTM dan Alumni ITM/UiTM.
Sekitar Majlis Perasmian GTAR oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Sumber:
- Informasi UiTM Sept-Dis 2006, Bil 26
- Koleksi Gambar Jabatan Arkib Universiti