Pada 18 November 2006 bertempat di tapak perasmian berhadapan air terjun, SPB Tuanku Canselor telah merasmikan Bangunan Canseleri UiTM dan bagi mengenang jasa baik Baginda, Bangunan Canseleri ini dinamakan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin. Dengan itu, segala maklumat bersejarah universiti tidak lagi hanya tersimpan, malah kini boleh dipamerkan untuk orang ramai agar mereka dapat menghayati pembangunan bangsa yang penuh dengan cabaran.
Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis perasmian tersebut ialah YBhg. Dato' Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi, YAB Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo, YBhg. Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah, Naib Canselor UiTM Pro Canselor-Pro Canselor, Ahli Lembaga Pengarah dan tetamu kehormat yang lain.
Sekilas tentang Bangunan Canseleri Universiti Teknologi MARA, ia mula dibina pada 25 November 2002 dan siap sepenuhnya pada 18 Januari 2005. Bangunan ini merupakan mercu tanda UiTM kerana lokasinya yang strategik iaitu di atas bukit berhampiran dengan pintu masuk utama ke kampus. Bangunan tujuh tingkat ini menempatkan pengurusan tertinggi universiti dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti tempat letak kereta dua tingkat, surau dan kafeteria.
Turut dirasmikan juga ialah Dataran Tuanku Fauziah, mengambil nama sempena nama SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Ibni Al-Marhum Tengku Abdul Rashid dan laman MIM yang diilhamkan oleh Naib Canselor, YBhg. Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah.
Sekitar Majlis Perasmian Bangunan Canseleri UiTM oleh SPB Tuanku Syed Sirajuddin
Sumber:
- Informasi UiTM Sept-Dis 2006, Bil. 26.
- Koleksi Gambar Jabatan Arkib Universiti