Pada 5 Julai 1978 D.Y.M.M. Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Tuanku Raja Perlis telah berkenan untuk berangkat melakukan istiadat meletakkan batu asas di tapak tetap kampus cawangan ITM Perlis di Arau. Istiadat tersebut telah dijalankan secara besar-besaran dengan penyertaan penuh dari kakitangan serta pelajar.
Ketibaan D.Y.M.M. Tuanku Raja dan D.Y.M.M. Tuanku Raja Perempuan disambut oleh perbarisan kehormat Kesatria ITM Perlis dengan iringan muzik kawad oleh Brass Band ITM. Setelah bertitah, D.Y.M.M. Tuanku Raja serta D.Y.M.M. Tuanku Raja Perempuan telah diiringi oleh pembesar-pembesar Negeri Perlis untuk melawat pameran. Rombongan DiRaja kemudiannya diraikan di majlis jamuan tengahari yang telah disediakan oleh pelajar-pelajar dari Kajian Pengurusan Hotel & Penyediaan Makanan, ITM, Shah Alam.
Pada hari tersebut juga kerja-kerja pembangunan bagi peringkat pertama telah dimulakan. Di antara projek peringkat pertama ialah pembangunan lima buah asrama empat tingkat, sebuah jalan masuk ke kampus yang tetap, dan kemudahan-kemudahan sukan. Bagi peringkat kedua pula projek-projek pembangunan termasuk medan selera, bangunan pentadbiran, bangunan perpustakaan dan bilik-bilik kuliah. Kerja-kerja untuk projek-projek peringkat kedua dijangka akan bermula sebelum akhir tahun 1978 ini.
Sementara kemudahan tambahan untuk sukan serta kelengkapan moden serta tambahan untuk asrama telah dilaksanakan dalam peringkat ketiga. Sasaran daripada projek-projek tersebut adalah untuk menyediakan tempat serta kemudahan untuk 2,000 orang pelajar menjelang tahun 1980.
D.Y.M.M. Tuanku Raja Perlis dan D.Y.M.M. Tuanku Raja Perempuan Perlis telah diiringi oleh Pengetua Kampus ITM Perlis En. Wan Mohd. Ghazali Wan Abdullah, Pengarah ITM Dato’ Hj. Lokman Musa dan pembesar-pembesar Negeri Perlis, untuk merasmikan Perletakan Batu Asas di ITM Cawangan Perlis.
Pemandangan dipentas di Raja ketika perasmian Perletakan Batu Asas cawangan Perlis. Manakala YB, Dato' Mansor Othman, selaku Pengerusi Majlis ITM, sedang memberikan ucapannya.
Sumber:
- Warta ITM Ogos 1978
- Melakar Peristiwa, 2012