Y.A.B Perdana Menteri memberi ucapan penyempurnaan majlis di Taman Rekreasi Tasik Puteri Bukit Besi
Majlis Peletakan Batu Asas UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi telah diadakan pada 3 Februari 2008 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Majlis ini dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdullah Mat Zain, Menteri Pengajian Tinggi Dato' Mustapa Mohamed serta Ketua Setiausahanya Dato' Dr. Zulkefli A. Hassan, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Tan Sri Dr. Wan Zahid Mohd. Noordin dan Naib Canselor UiTM Dato' Seri Prof. Dr. Ibrahim Abu Shah. Turut hadir ke majlis ini ialah Ketua Puteri UMNO Datuk Noraini Ahmad, Anggota Parlimen Dungun Datuk Rosli Mat Hassan dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu yang lain.
Majlis ini telah diadakan di Taman Rekreasi Tasik Puteri Bukit Besi dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, kemudian bacaan doa oleh Imam Besar Negeri Terengganu dengan kehadiran para pelajar UiTM Terengganu serta seluruh lapisan masyarakat setempat yang menyokong pembinaan kampus UiTM di situ.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, Bukit Besi merupakan kawasan yang terbaik untuk pembinaan kampus baharu UiTM di Terengganu. Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Dato' Mustapa Mohamed pula menyifatkan penambahan kampus UiTM ini adalah sebagai penambahan kekuatan negara untuk masa depan dan juga sebagai usaha mengangkat martabat anak bangsa ke tahap lebih tinggi.
Dalam upacara tersebut, Y.A.B Perdana Menteri telah meletakkan batu bata sebagai simbolik peletakan batu asas UiTM Kampus Bukit Besi yang diiringi oleh isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah.
Simbolik Majlis Peletakan Batu Asas UiTM Bukit Besi oleh Y.A.B Perdana Menteri
Sumber:
- Warta ITM Ogos 1978
- Melakar Peristiwa, 2012