Simbolik Peletakan Batu Asas YS-ITM oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah

Pada 24 Februari 1979 telah diadakan upacara Peletakan Batu Asas Yayasan Sabah-Institut Teknologi MARA (YS-ITM) oleh Tuan Yang Terutama, Datuk Mohd. Adnan Robert, Yang Di-Pertua Negeri Sabah. Turut hadir di upacara tersebut ialah Pengerusi Majlis ITM, Datuk Mansor Othman dan Pengarah ITM, Professor Dato’ Awang Had Salleh.

Datuk Mansor Othman ketika berucap dalam upacara tersebut berkata “kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Institut Teknologi MARA setakat ini telah dapat membantu membetulkan keadaan yang tidak seimbang dalam pembangunan ekonomi, khususnya dalam lapangan perusahaan dan perdagangan. Sejak penubuhannya pada tahun 1967, Institut Teknologi MARA telah mengeluarkan lebih kurang 7,000 orang lulusan yang kini memegang berbagai jawatan dalam organisasi awam dan swasta dengan pendapatan permulaan di antara 500 hingga 900 ringgit sebulan.”

Dalam pada itu, dalam ucapan Professor Dato’ Awang Had Salleh pula, beliau berkata “memberi peluang pelajaran tinggi teknologi dan profesional itu dilakukan oleh ITM dengan beberapa cara. Satu cara ialah dengan menyediakan tempat pengajian bagi berbagai kursus di Kampus Induk ITM, Shah Alam. Cara kedua pula ialah dengan mengadakan kemudahan pengajian bagi kursus-kursus yang amat relevan dengan keperluan pembangunan daerah. Ini dilakukan oleh ITM dengan mengadakan kampus-kampus cawangan. Yayasan Sabah-Institut Teknologi MARA, Kota Kinabalu ialah satu daripada empat buah kampus cawangan yang didirikan untuk mencapai matlamat itu.”

Dalam upacara tersebut, Tuan Yang Terutama, Datuk Mohd. Adnan Robert, Yang Di-Pertua Negeri Sabah telah membuka tirai batu asas sebagai simbolik Peletakan Batu Asas YS-ITM.

Pembacaan doa selamat untuk memberkati upacara Peletakan Batu Asas YS-ITM

 

Sumber:

  • Warta ITM Feb 1979, Bil. 30.
  • Melakar Peristiwa