
Universiti Teknologi MARA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBrs. Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) atas segala jasa, khidmat bakti dan kepimpinan cemerlang yang telah mencorakkan perjalanan ICAN sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. Majlis Sanjungan Budi telah berlangsung pada 29 September 2025 di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM. Majlis dihadiri Professor Datuk Dr Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, Naib Canselor serta barisan pengurusan UiTM.
Seiring berlalunya masa, setiap usaha, dedikasi dan komitmen Prof. Dr. Jamalunlaili akan terus terpahat dalam memori warga UiTM sebagai warisan kepimpinan yang menghubungkan industri, komuniti dan alumni ke arah kecemerlangan universiti.
Dalam ucapan Naib Canselor, beliau menyifatkan sepanjang perkenalan dengan Prof. Dr. Jamalunlaili, beliau telah menonjolkan kepimpinan yang berwibawa, berfikiran strategik, berdisiplin, tegas dalam membuat keputusan serta berorientasikan hasil demi memperkukuh reputasi universiti. Beliau merupakan individu penting yang membawa pelbagai kejayaan serta pembaharuan melalui inisiatif ICAN. Pendekatan yang diperkenalkan – selaras dengan tagline “Comprehensively Excellent” – telah membuahkan hasil yang amat bermakna buat UiTM.
Keberkesanan strategi ICAN jelas terserlah melalui jaringan berimpak tinggi bersama industri dan kerajaan, termasuk pelantikan 42 tokoh pengurusan tertinggi industri melalui program CEO@Faculty, majoritinya alumni tersohor UiTM yang kini menerajui sektor masing-masing. Begitu juga dengan pencapaian kadar kebolehpasaran graduan melebihi 90%, yang menjadi penanda aras kualiti dan daya saing graduan UiTM di persada nasional.
Selain itu, peningkatan ketara dalam pelaksanaan serta dana projek komuniti berimpak tinggi membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh pendayaan sosioekonomi masyarakat. ICAN juga telah berjaya menggalakkan alumni UiTM untuk kembali berkolaborasi dengan alma mater – membuka peluang pekerjaan, berkongsi kepakaran, memperkukuh rangkaian profesional, serta menyumbang melalui zakat dan Tabung Alumni Prihatin UiTM.
Antara kenangan indah yang terpahat ialah Sambutan Hari Alumni 2024, di mana ICAN telah berjaya menerbitkan dua buku alumni yang penuh nilai nostalgia iaitu “Citra Bitara: Wajah Alumni UiTM” dan “Cherita Alumni: Dewan Latehan Rida”. Pengurusan tertinggi UiTM amat menghargai kewibawaan Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili dalam memberi pandangan dan cadangan semasa perbincangan, khususnya bersama barisan Pengurusan Universiti.
Sumbangan beliau tidak hanya terhad kepada UiTM, malah melangkaui sempadan negara. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Perancang Bandar Malaysia, Ahli Majlis Institut Perancang Malaysia, dan Ron Lister Visiting Fellow, Department of Geography, University of Otago, New Zealand.
Percayalah, meskipun pemimpin silih berganti, doa kami agar ICAN terus dipimpin oleh tokoh yang membawa kebaikan kepada universiti, masyarakat, dan negara tercinta.
Ikuti legasi sejarah di pautan Barisan Peneraju Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni).