Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Jaafar ibni Almarhum Raja Muda Musa bercemar duli berangkat sempena Majlis Perasmian Pameran Seni Visual Tanah Abang ke Bukit Chandan pada 21 Ogos 2025 (Khamis) bersamaan 27 Safar 1447H jam 10.00 pagi bertempat di di Galeri Al-Biruni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah, Pegawai Daerah Perak Tengah Mohd Zaki Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM Profesor Dr Md Yusof Hamid serta Pemangku Rektor UiTM Cawangan Perak Profesor Madya Dr Nur Hisham Ibrahim.
Pameran ini bukan sekadar menampilkan hasil karya seni semata-mata, tetapi merupakan manifestasi kepada iltizam dan komitmen UiTM dalam memupuk serta memperkasa nilai estetika, kreativiti, dan intelektual dalam kalangan warganya. Pameran Seni Visual Tanah Abang ke Bukit Chandan merupakan hasil kolaborasi para pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Perak, dalam menzahirkan apresiasi tinggi terhadap seni dan warisan, di samping memperlihat keupayaan dan potensi bakat tempatan yang digilap melalui institusi pengajian tinggi. Tanah Abang ke Bukit Chandan merupakan pameran seni visual mengetengahkan perjalanan sejarah Kesultanan Perak bermula dari Tanah Abang yang melambangkan akar tradisi masyarakat sehingga ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Sumber :
- Buku Majlis Perasmian Pameran Seni Visual ‘Tanah Abang ke Bukit Chandan’
- Unit Arkib UiTM Cawangan Perak