- PTDI Johor
- News
- Hits: 646
6 Jamadilawal 1446H | 8 November 2024
SHAH ALAM – Hari ini, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima kunjungan istimewa dari seorang lagi alumni yang berjaya, YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem. Beliau hadir bersama para pemimpin Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), termasuk Presiden PAUiTM, Saudara Saiful Azhar, dan Timbalan Presiden, Dato Rosthman, diiringi barisan Majlis Eksekutif PAUiTM dan wakil dari ICAN.
Kunjungan ini diadakan bagi sesi rakaman program Podcast Zaman Now yang menampilkan perbincangan berkisar pengalaman alumni dan pandangan mereka mengenai isu-isu semasa. Dalam lawatan tersebut, YB Datuk turut dibawa melawat ke Koleksi Khas Jawi di Perpustakaan Tun Abdul Razak. Beliau berkesempatan meneliti koleksi naskhah Jawi serta kitab-kitab lama yang pernah digunakan oleh agamawan, di samping melihat secara dekat Repositori Persuratan Jawi yang giat dibangunkan sebagai salah satu usaha UiTM dalam memelihara warisan ilmu tradisional.
Perpustakaan Tun Abdul Razak bukan sahaja menjadi pusat ilmu bagi warga UiTM, malah turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu kepada komuniti luar, terutama kepada golongan pelajar sekolah. Pada tahun 2018, perpustakaan ini pernah melaksanakan program khidmat komuniti di Melaka dengan menganjurkan aktiviti di SMK Datuk Abdul Rahman Ya’kub, termasuk modul literasi maklumat dan Bacaan Pantas yang diselia oleh pustakawan berpengalaman. Usaha ini berterusan dengan pendekatan yang kini lebih tertumpu kepada peningkatan kemahiran literasi dan keupayaan membaca pantas.
Terima kasih diucapkan kepada PAUiTM yang telah menjadi penganjur utama dalam menjayakan kunjungan hari ini. Bagi yang berminat untuk mengikuti perbincangan bersama YB Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, nantikan siaran penuh rakaman podcast ini yang akan disiarkan di saluran YouTube Zaman Now tidak lama lagi.
6 Jamadilawal 1446H | 8 November 2024
Shah Alam – Dalam sesi muhasabah pagi ini, Ustazah Nur Ilmina Batrisyia Bahrim, Penolong Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Islam, telah menyampaikan kuliah bertajuk “Kemana Harus Ku Bawa Diriku”. Program tersebut menekankan pentingnya memperbaiki hubungan sesama manusia sebagai langkah terbaik untuk mengatasi konflik yang wujud dalam diri, keluarga, serta tempat kerja.
Mengambil contoh dari kehidupan Rasulullah SAW, yang juga menghadapi pelbagai ujian, Ustazah Ilmina menyoroti bagaimana pendekatan Baginda menjadi panduan untuk menyelesaikan pertikaian dan menjaga hubungan yang baik dengan semua pihak. Menurut beliau, keutamaan dalam mengurus konflik terletak pada kesediaan diri untuk muhasabah, memperbaiki kekurangan, dan mengukuhkan tali persaudaraan.
Kuliah ini memberi inspirasi kepada para peserta untuk terus muhasabah dan memperbaiki hubungan, menjadikan keutuhan antara sesama manusia sebagai landasan kedamaian jiwa.
4 Jamadilawal 1446H | 6 November 2024
SHAH ALAM – Dalam usaha memperkukuhkan keterlibatan ilmu dan meningkatkan akses pengetahuan di kalangan warga universiti dan komuniti, Penerbit Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah mengadakan perbincangan untuk merangka kolaborasi festival ilmu berimpak tinggi yang direncanakan berlangsung pada tahun 2025.
Perbincangan tersebut dihadiri oleh Dr. Nafisah Khalid, Timbalan Pengarah (Perolehan dan Pemasaran) Penerbit UiTM, serta Pn. Nur Farabiyah Shamsudin, Timbalan Pengarah (Penerbitan), bersama-sama staf penerbit yang turut serta dalam pertemuan tersebut. Dari pihak PTAR, hadir Puan Aznur Umiza, Pengarah Bahagian Sumber Rujukan Universiti, yang aktif memimpin perbincangan mengenai agenda serta visi festival ilmu ini.
Perbincangan difokuskan pada potensi kolaborasi strategik antara PTAR dan Penerbit UiTM untuk menghasilkan sebuah program yang akan membawa manfaat besar kepada mahasiswa, staf akademik, serta komuniti yang lebih luas. Acara ini diharapkan menjadi platform yang akan memperkaya pengalaman pendidikan melalui pelbagai sesi ilmiah, pameran buku, ceramah, dan aktiviti yang mempromosikan kesarjanaan.
“Alhamdulillah, pertemuan kali ini membuka peluang bagi kita merancang dan merangka program yang tidak hanya berfokus kepada perkongsian ilmu tetapi juga melibatkan masyarakat sekitar dalam ekosistem akademik universiti,” ujar Dr. Nafisah.
Dengan kerjasama erat antara PTAR dan Penerbit UiTM, program ini diharapkan dapat menyatukan pelbagai pihak berkepentingan dalam rangka membudayakan ilmu dan literasi, serta menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan.
SHAH ALAM, 7 November — Mesyuarat kali kedua Jawatankuasa Budaya Ilmu Universiti Awam telah diadakan hari ini dengan dipengerusikan oleh Ketua Pustakawan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Mesyuarat yang menghimpunkan wakil-wakil dari pelbagai Universiti Awam ini bertujuan untuk merangka strategi berimpak melalui Garis Panduan Pelaksanaan Program Budaya Ilmu. Garis panduan ini diharapkan dapat menyelaraskan standard pelaksanaan aktiviti budaya ilmu di institusi pengajian tinggi awam negara agar lebih mantap, berkualiti, dan berkesan.
Agenda utama turut membincangkan pembangunan Portal Budaya Ilmu, inisiatif penting yang akan diterajui oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM. Portal ini akan berfungsi sebagai platform rasmi bagi memaparkan pelbagai aktiviti budaya ilmu yang berlangsung di peringkat Universiti Awam, sekali gus memudahkan akses kepada maklumat terkini serta memupuk semangat kolaborasi antara institusi.
Selain sesi perbincangan, ahli mesyuarat dibawa melawat Koleksi Khas Jawi di UiTM dan diberi penerangan mengenai Repositori Persuratan Jawi, yang menyimpan dan memelihara bahan-bahan persuratan bernilai dalam tulisan Jawi. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami lebih mendalam peranan UiTM dalam pemeliharaan warisan persuratan Jawi.
Mesyuarat ini diakhiri dengan komitmen para ahli untuk terus memperkukuhkan budaya ilmu di universiti masing-masing dan menyokong pembangunan Portal Budaya Ilmu yang diharapkan menjadi sumber rujukan utama di kalangan warga akademik dan masyarakat.
Pada 1 Oktober 2024, Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak telah menganjurkan sesi libat urus dan perkhidmatan perpustakaan digital bersama Pejabat Polis Bantuan. Sesi ini diadakan di makmal komputer perpustakaan dengan penyertaan seramai 25 orang peserta. Program ini berlangsung dari pukul 3.00 petang hingga 5.00 petang dan dikendalikan oleh penceramah berpengalaman, Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan, dan Puan Nurul Atika Harud Din, seorang pustakawan.
Tujuan utama sesi ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada staf HASA mengenai kewujudan perpustakaan digital serta pendedahan tentang perkhidmatan dan fungsi portal MyKM. Dengan memperkenalkan portal ini, peserta diharapkan dapat memahami lebih lanjut tentang kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan dan bagaimana ia boleh dimanfaatkan dalam tugasan harian mereka.
Selain itu, sesi ini juga bertujuan untuk menjalin hubungan baik dan kerjasama di antara perpustakaan dan jabatan. Melalui perbincangan yang dijalankan, peserta dapat memberikan maklum balas berkaitan perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan. Input yang diterima adalah penting bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan perpustakaan agar lebih sesuai dengan keperluan pengguna.
Secara keseluruhan, sesi ini telah mencapai matlamatnya dengan baik, memberikan maklumat yang berguna kepada staf dan membuka ruang untuk kerjasama yang lebih erat antara perpustakaan dan Jabatan Pejabat Polis Bantuan HASA. Diharapkan, program-program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran dan penggunaan perpustakaan digital dalam kalangan staf.

19 September 2024 | 15 Rabi’ulawal 1446H: Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak (PPTAR), Hospital Al- Sultan Abdullah, Kampus Cawangan Selangor pada kali ini telah melaksanakan sesi libat urus dan perkhidmatan Perpustakaan digital Bersama Jabatan Farmasi, HASA. Sesi ini telah dijalankan bertempat di makmal komputer, Perpustakaan Perubatan Tun Abdul Razak, HASA.
Sesi ini telah diketuai oleh Puan Wan Rohani Wan Chin (Pustakawan Kanan) dan turut hadir bersama ialah Puan Nurul Atika Harud Din (Pustakawan). Agenda sesi libat urus tersebut terarah kepada perbincangan dalam memberi kesedaran tentang kewujudan perpustakaan digital kepada staf Jabatan Farmasi serta memberi pendedahan tentang perkhidmatan dan fungsi portal MyKM yang boleh digunakan olah staf. Sesi libat urus ini juga dapat menjalinkan hubungan baik dan kerjasama di antara perpustakaan dan PTJ di HASA malah membincangkan dan mendapatkan maklum balas berkaitan perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan bagi tujuan penambahbaikan.
Menerusi sesi yang dijalankan ini, diharapkan dapat mengukuhkan sinergi di antara kedua-dua pihak bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan yang dapat memberi manfaat kepada warga HASA.


Jabatan Perpustakaan
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia
+603 5544 3793 | Consultation Services
+603 5544 3716 | Customer Services
+603 5544 3727 | Corporate Unit
korporatptar@uitm.edu.my