Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Program Jom Bantu Asnaf 6.0

MELAKA, 14 Mac 2026 – Program Jom Bantu Asnaf 6.0 telah diadakan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya sebagai salah satu inisiatif kebajikan bagi membantu golongan asnaf dan komuniti yang memerlukan. Program ini merupakan anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dengan kerjasama PTAR UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya serta beberapa rakan strategik yang turut menyokong pelaksanaan program tersebut.
 
Program yang diadakan bersempena bulan Ramadan ini menampilkan beberapa pengisian utama seperti Bengkel SPM Booster, penyampaian Hamper Kasih Ramadan 2026, serta pelaksanaan inisiatif Food Bank Pelajar Asnaf. Bengkel SPM Booster diadakan bagi memberi suntikan motivasi dan bimbingan kepada pelajar, manakala program Hamper Kasih Ramadan pula melibatkan penyampaian sumbangan barangan keperluan asas kepada penerima dalam kalangan asnaf.
 
Selain itu, inisiatif Food Bank yang diperkenalkan turut bertujuan membantu pelajar asnaf di UiTM Kampus Bandaraya Melaka mendapatkan bantuan makanan secara berterusan sepanjang tempoh pelaksanaannya. Melalui program ini, seramai 80 penerima terdiri daripada pelajar, warga emas, ibu tunggal dan individu kurang berkemampuan telah menerima bantuan, manakala lebih 300 keluarga asnaf telah mendapat manfaat sejak program ini dilaksanakan.
 
Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, malah turut memperkukuhkan semangat kerjasama antara fakulti, perpustakaan serta rakan strategik dalam melaksanakan aktiviti khidmat masyarakat. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan lebih ramai golongan asnaf mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
 
 
Tags: ,