Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Program Imarah Ramadan Siri 1: Jejak Ilmu & Keindahan Warisan di Masjid Kampung Laut

Tumpat, 23 Februari 2026 – Program Imarah Ramadan 1447H bertemakan “Jejak Ilmu & Keindahan Warisan” telah berlangsung dengan jayanya pada jam 11.00 pagi di Masjid Kampung Laut, Tumpat, Kelantan. Program anjuran bersama Perpustakaan Tengku Anis dan Unit Pentadbiran UiTM Kota Bharu ini bertujuan mengimarahkan Ramadan melalui pengisian ilmu serta menghargai warisan Islam.

Pengisian utama program ialah perkongsian ilmu oleh Dr Muslim Ismail yang menyentuh kepentingan menghidupkan Ramadan dengan amalan berilmu dan penghayatan sejarah warisan Islam. Para peserta turut didedahkan dengan nilai sejarah Masjid Kampung Laut sebagai antara masjid tertua di Malaysia.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada Imam Masjid Kg Laut yang telah disampaikan oleh En Imran Mohamed @ Ismail selaku Timbalan Pendaftar. Sumbangan ini diharap dapat membantu serta menceriakan pengurusan masjid.

Selain itu, pelaksanaan program ini turut menyokong pencapaian KPI dan PI universiti khususnya dalam aspek jaringan komuniti (community engagement), pemerkasaan nilai insaniah, kelestarian warisan, serta pengukuhan kolaborasi strategik antara universiti dan masyarakat setempat. Inisiatif ini juga selaras dengan agenda universiti dalam memperkasakan budaya ilmu, tanggungjawab sosial (CSR) dan visibiliti institusi di peringkat komuniti.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan kampus atas sokongan dan kelulusan yang diberikan dalam menjayakan program ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para penderma sumbangan atas keprihatinan dan kemurahan hati dalam menyokong usaha kebajikan ini.

Semoga program seumpama ini terus diperkasa sebagai platform berimpak tinggi dalam merealisasikan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan berteraskan ilmu dan khidmat kepada masyarakat.