ARAU, 15 Disember 2025 – Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan (PDJH), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan program Jelajah Ilmu: Permata AI Tour @ Kolej Cengal 5 bertempat di Dataran Cengal 5 pada jam 11.10 malam dengan penyertaan seramai 209 orang pelajar.
Program ini bertujuan memperkenalkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta sumber digital perpustakaan secara hands-on, sejajar dengan usaha memperkasa literasi maklumat dan pembelajaran digital dalam kalangan mahasiswa. Melalui pendekatan interaktif, para pelajar didedahkan kepada kaedah mengakses perkhidmatan perpustakaan secara mudah alih dan atas talian, tanpa bergantung sepenuhnya kepada kaunter fizikal.
Program ini telah dikendalikan oleh En. Khairil Izwan Hasan, Pustakawan dari Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan UiTM Cawangan Perlis, yang berkongsi pengetahuan berkaitan penggunaan AI dalam pencarian maklumat akademik serta kemudahan digital yang ditawarkan oleh perpustakaan.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk demonstrasi penggunaan eBook melalui e-Lib, demo pencarian Kertas Peperiksaan Akhir (Final Exam Paper) serta promosi Program pinjaman sehingga 10 buah buku bagi menggalakkan budaya membaca dan penggunaan sumber ilmiah dalam kalangan pelajar.
Program ini turut memberi penekanan bahawa perpustakaan kini bukan sekadar ruang fizikal, malah boleh diakses pada bila-bila masa melalui platform digital, selari dengan keperluan pembelajaran fleksibel dan gaya hidup pelajar masa kini.
Penganjuran program ini merupakan hasil kerjasama antara Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, Unit Residensi dan Hospitaliti Pelajar (URHP) serta Star Residen Kolej UiTM Cawangan Perlis. Sambutan yang menggalakkan membuktikan minat pelajar terhadap penerokaan teknologi AI dan sumber digital sebagai sokongan kepada pembelajaran akademik.
Melalui program seperti ini, PDJH terus komited dalam memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dinamik yang relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan generasi digital.
