Dewan Latehan RIDA telah memulakan operasinya pada bulan November 1956 dan diketuai oleh pengetuanya yang pertama iaitu Tuan Syed Alwi Bin Syed Sheikh Al-Hadi. Pelantikan beliau bemula pada 1 November 1956 hingga 30 Jun 1958. Pengambilan pelajar pertama adalah bagi London Chamber of Commerce (LCC) 1956/57 seramai 25 orang dan pengambilan pelajar London Chamber of Commerce (LCC) sesi 1957/58 seramai 24 orang.

Beliau dilahirkan pada 12 Muharam 1310 Hijrah @ Tahun 1893 di Pulau Penyengat Indara Sakti, Riau dan dibesarkan di Pulau Pinang. Anak pertama daripada pasangan Syed Sheikh Al Hadi (anak kelahiran Kampung Hulu, Melaka) dan Syarifah Syeikhun. Pada tahun 1933 beliau menggantikan ayahnya menguruskan terbitan Akhbar Saudara yang diterbitkan dalam tulisan jawi untuk dua kali seminggu  sehingga tahun 1941.

Beliau pernah berkhidmat sebagai tenaga pengajar dan menjadi seorang anggota bukan pertempuran dengan tentera British di Beirut, Lubnan semasa Perang Dunia Pertama. Beliau juga pernah berkhidmat secara mingguan di Lembaga Malaya dan berkhidmat sebagai Pegawai Maklumat UMNO dari tahun 1947 hingga 1951. Selepas meninggalkan Dewan Latehan RIDA, beliau telah dilantik sebagai Professor Madya dan Ketua Kajian Melayu di Bahagian Bahasa, Kolej Ngee Ann, Singapura pada 1963 hingga 1964. Pada tahun 1970, beliau meninggal dunia pada usia 77 tahun.

Rujukan
  1. Documenting A Destiny (1956-2006 )
  2. Shaping a Dream (1956-1999)
  3. Sejarah dan Rumpun Bahasa Melayu oleh Siti Nazurana UPM