Pada 1 Disember 1965 Encik Arshad Ayub seorang ahli ekonomi telah dipinjamkan oleh MARA dari Kementerian Perdagangan dan Perindustrian sebagai Pengetua Maktab MARA ke-7 menggantikan Encik Basha Merican yang telah meletakkan jawatannya sebagai Pemangku Pengetua Maktab MARA pada 30 September 1965.
Semasa menjadi Pengarah ITM beliau membentuk dan memupuk ITM dengan penuh ketegasan dan kebijaksanaan. Hasilnya dalam jangkamasa hampir lapan tahun beliau telah berjaya menambahkan bilangan pelajar daripada seramai 154 orang kepada 8000 pelajar dengan mengikuti lebih daripada 60 bidang kursus. Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan dan dalam masa yang sama beliau bekerja keras untuk meninggikan imej lulusan ITM.
Beliau dilahirkan pada 15 November 1928 di Muar, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Parit Keruma, Muar, Johor sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Kerajaan juga di Muar, Johor. Kemudian beliau telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Pertanian Serdang, Selangor (1951-1954) dan University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom (1954-1958). Pada tahun 1963 beliau terpilih untuk mengikuti kursus di Management Development Institute (IMEDE), Lausanne, Switzerland dan memperolehi Diploma Pentadbiran. Kerjaya beliau bermula seawal tahun 1951 apabila beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai di Lembaga Pembangunan Industri Desa RIDA. Beliau juga adalah penerima Anugerah Tokoh RIDAMARA sempena Sambutan Jubli Emasnya pada tahun 2000.
Beliau juga merupakan Pro Canselor UiTM dari 1 Jun 2000 sehingga 2022.
Dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Melawati, Putrajaya pada tahun 2020.
Beliau telah meninggal dunia pada 14 Jun 2022 di Hospital Pakar KPJ Damansara kerana masalah kesihatan. Jenazah tokoh pendidikan negara, Allahyarham Tun Arshad Ayub, 93, dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan nama Persiaran Institut, Seksyen 1 ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub bersempena nama Pengarah Pertama Institut Teknologi MARA. Persiaran tersebut merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer yang bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 hingga ke persimpangan lampu isyarat Seksyen 7.
Rujukan
1. ITM Warisan Bangsa
2. Documenting A Destiny (1956-2006 )
3. A Second Chance – Life and Mission of Arshad Ayub
4. Majlis Amanah Rakyat
5. Bahagian Governan dan Sekretariat Universiti, Pejabat Pendaftar
6. Tokoh UiTM, Tun Arshad Ayub Meninggal Dunia. UiTM News hub (https://news.uitm.edu.my/?p=37527)