Dato’ Lokman Musa dilantik menjadi Pengarah Institut Teknologi MARA (ITM) menggantikan Dato’ (Dr) Arshad Ayub yang dilantik sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia pada 24 Mac 1975. Perlantikan Dato’ Lokman Musa berkuatkuasa pada 1 Ogos 1975 hingga 12 Ogos 1978.
Beliau dilahirkan di Singapura pada 25 November 1926 tetapi beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Malaysia. Pada tahun 1959, beliau meyambung pengajiannya di Universiti Harvard, Amerika Syarikat dalam bidang Perancangan Pendidikan. Pada tahun 1973 beliau mengambil kursus yang sama di Universiti Sussex, Britain. Semasa menjadi Pengarah ITM, beliau telah melawat ke Universiti , Politeknik dan Kolej yang terdapat di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Pengalaman yang diperolehi digunakan untuk meningkatkan lagi mutu dan tahap pembelajaran di ITM. Selama tiga tahun, Dato’ Lokman telah berjaya menaikkan nama ITM sebagai salah satu institusi pengajian tinggi yang disegani dan telah melahirkan ramai graduan yang bertaraf profesional.
Pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan tidak dinafikan lagi kerana pernah bekerja di sebuah sekolah swasta dia Batu Pahat, Johor, Guru sekolah menengah, Pegawai Pelajaran, Ketua Pegawai Pelajaran Pahang, Penolong Pengetua di Maktab Bahasa Kuala Lumpur, Pengarah Pelajaran Sabah, Pengarah Latihan Guru Malaysia dan Timbalan Pengarah Am di Kementerian Pendidikan.
Dalam tahun 1960 beliau telah menghadiri Mesyuarat Agung UNESCO dan menjadi wakil Menteri Pendidikan di Regional Language Centre di Singapura sehingga tahun 1977. Selepas menjadi Pengarah Institut Teknologi MARA, beliau dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Rujukan
1. Peristiwa Penting ITM 1956-1980
2. Shaping a Dream (1956-1999)