Seramai 204 orang pelajar American Associate Degree (AAD) telah menerima anugerah masing-masing dari President Indiana University, Dr. John Ryan dan Pengarah ITM, Dr. Hj. Mohd. Mansor Hj. Salleh dalam majlis Konvokesyen yang telah berlangsung pada 13hb. Julai 1987 di Dewan Sri Budiman Shah Alam.
Mereka merupakan pelajar kumpulan pertama yang telah mengikuti program AAD selama dua tahun di bawah rancangan usahasama ITM dan Mid-Western Universities Consortium for International Activities (MUCIA). Kumpulan ini akan berlepas ke Amerika Syarikat pada bulan Ogos tahun ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda selama dua hingga tiga tahun.
Dr. Hj. Mohd. Mansor Hj. Salleh di dalam ucapannya di majlis Konvokesyen tersebut menyeru para pelajar supaya meneruskan usaha yang gigih disamping mengamalkan segala ajaran Islam dan bertaqwa kepada Allah agar tercapai cita-cita yang diusahakan.
Beliau mengingatkan para pelajar supaya tidak sekali-kali mensia-siakan harapan ibubapa, masyarakat dan negara yang telah banyak berkorban dan berbakti sehingga meletakkan mereka di tempat yang istimewa dalam pendidikan tinggi.
Para pelajar telah juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga nama baik negara, tidak berpecah belah dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala-gejala yang tidak sihat.
President John Ryan pula telah meminta supaya kumpulan pertama lulusan ITM-MUCIA ini menjadi contoh yang baik kepada kumpulan-kumpulan yang akan datang. Kepada mereka, beliau mengingatkan tiga perkara penting: bahawa ilmu suluh kehidupan dan proses mencarinya tidak akan berakhir; apabila memilih, pilihlah yang lebih baik dan yang lebih tinggi agar nilai dan identiti mereka sebagai warganegara Malaysia tetap tinggi; dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat untuk memajukan ekonomi dan budaya Malaysia.
Pengarah, Dr. Hj. Mansor Hj. Salleh sedang berjabat tangan dengan seorang lulusan AAD sambil diperhatikan oleh Presiden IU. Dr. John Ryan (no. 2 dari kiri)
Para pensyarah dan lulusan di Majlis Konvo kesyen ITM-Indiana Universiti
Sumber :
- BERITA ITM 1987, Julai- Ogos Bil 8 m.s 01