PEWANI adalah Persatuan Wanita Universiti Teknologi MARA khusus bagi staf wanita dan isteri staf UiTM. Ditubuhkan pada 30 Januari 1991, berperanan untuk menjaga kebajikan dan mengadakan aktiviti bagi staf wanita dan isteri staf di ITM. Selain itu, ia juga berfungsi untuk merapatkan perhubungan muhibbah dan menyatukan kakitangan-kakitangan wanita Universiti dan isteri staf di semua peringkat perkhidmatan.

Upacara pelancaran PEWANI telah disempurnakan pada 14 Disember 1991 di Dewan Sri Budiman, ITM Shah Alam oleh YBhg. Datin Amar Naemah Haji Hasbi iaitu isteri YB. Sulaiman bin Daud, Menteri Pendidikan Malaysia. Ketika berucap pada majlis tersebut, YBhg. Datin menyifatkan penubuhan PEWANI ITM adalah sebagai badan penggerak di dalam pembangunan wanita ITM. Penubuhannya sebagai sebuah persatuan wanita adalah wajar dan tepat pada masanya ketika negara sedang berusaha meningkatkan pembangunan dalam berbagai bidang. Persatuan ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan status wanita di samping

mendedahkan mereka kepada pelbagai pengalaman dalam pengurusan persatuan. Turut hadir sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah Dato' Dr. Hj. Mohd Mansor Salleh, Pengarah ITM.

OBJEKTIF PEWANI

  1. Untuk mewujudkan kesedaran di kalangan ahli akan kepentingan, peranan dan tanggungjawab ahli dalam meningkatkan imej Universiti dan negara.
  2. Untuk menjalin perhubungan erat serta kerjasama dengan lain-lain persatuan wanita bagi memupuk semangat persefahaman yang boleh mendatangkan faedah kepada Persatuan.
  3. Untuk merapatkan silaturrahim dan menyatukan staf wanita Universiti dan isteri staf di semua peringkat perkhidmatan.
  4. Untuk menggalakkan perkembangan pengetahuan, kemahiran dengan mengadakan ceramah, bengkel, seminar, kursus, dan penyertaan di dalam bidang-bidang perniagaan untuk kepentingan persatuan.
  5. Untuk menguruskan kerja-kerja amal melalui kutipan derma dan lain-lain sumber kewangan bagi faedah ahli-ahli dan keluarga.

   

Sekitar Majlis Pelancaran PEWANI pada 14 Disember 1991 di Dewan Sri Budiman, ITM Shah Alam


Sumber :

  1. Berita ITM - Disember 1991.
  2. Brosur PEWANI.
  3. Koleksi gambar Jabatan Arkib Universiti.