Encik Tahir Majid, Pemangku Pengarah ITM memeriksa perbarisan kehormat oleh Ketua-Ketua Platun Kesatria, Julai 1976
Dato' Lokman Musa, Pengarah ITM sedang memeriksa tamat latihan Ketua-Ketua Platun Kesatria, Jun 1977
Kesatria adalah latihan ala ketenteraan yang diwujudkan atas inspirasi dan idea oleh mantan Pengarah ITM, YBhg. Allahyarham Dato' Lokman Musa. Titik permulaan penubuhan Kesatria ini adalah berikutan peristiwa dua demonstrasi pelajar-pelajar pengajian tinggi termasuk ITM pada akhir tahun 1975 dan awal tahun 1976 yang menyebabkan penyingkiran lebih kurang 200 orang pelajar dari ITM. Oleh yang demikian, usaha meningkatkan disiplin dalam kalangan pelajar ITM perlu dititikberatkan. Sehubungan itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah diarahkan untuk memantapkan disiplin pelajar.
Antara individu yang menjadi penggerak kepada penubuhan Kesatria ialah Prof Emeritus Tan Sri Dato' Seri Dr Ibrahim Shah Bin Abu Shah yang ketika itu sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan kemudian HEP melantik Koordinator Kesatria, Encik Abdul Ghani bin Puteh pada 8 Jun 1976.
Memandangkan Kesatria adalah sangat perlu bagi meningkatkan disiplin di kalangan pelajar ITM, pada 24 Januari 1979 satu kertas kerja telah dibuat oleh Encik Abdul Ghani bin Puteh untuk menubuhkan Unit Kesatria
secara rasmi. Pada tahun 1982 barulah diwujudkan penjawatan Unit Kesatria di ITM Shah Alam dan diketuai oleh Kapten Mokhtar Najar sebagai ketua unit yang pertama dan kemudian di kampus-kampus cawangan seperti Terengganu, Perlis, Sabah, Sarawak dan lain-lain.
Bermula dengan penglibatan seramai 21 orang peserta iaitu 20 siswa dan seorang siswi, satu latihan intensif telah diadakan bagi melatih Ketua-Ketua Platun agar dapat membantu Jurulatih mengendalikan Latihan Kokurikulum Kesatria. Siri pertama latihan tersebut diadakan selama 23 hari bermula daripada 20 Jun 1976 sehingga 12 Julai 1976. Pada peringkat awal penubuhan, latihan Kesatria ini adalah secara sukarela. Namun pada 13 Februari 1978, ia telah dijadikan kokurikulum wajib.
Pada tahun 2007 pihak pengurusan tertinggi UiTM telah meminda nama Unit Kesatria kepada Unit Kokurikulum. Kini, bersempena hari ulang tahun Kesatria yang ke-45 pada 8 Jun 2021, Unit Kokurikulum tampak semakin berdaya maju dalam pelbagai aspek termasuklah aktiviti dan latihan, pentadbiran, dan hubungan dua hala sama ada dengan jabatan awam mahupun badan-badan bukan kerajaan.
Sumber :
- Pusat Kokurikulum, BHEP
- Warta ITM Mei & Julai 1976
- Warta ITM Januari, Mei, Julai & Oktober 1977