Pusat Latihan UiTM mula beroperasi pada bulan Disember 1996 di sebuah kawasan perlombongan peninggalan Malaysia Mining Corporation (MMC) di Kampung Sungai Galah, Mukim Kampung Gajah, Perak. Tanah yang seluas 500 ekar di Lot 4147, 3342 dan 2779 ini adalah anugerah daripada Kerajaan Negeri Perak kepada UiTM untuk dimajukan sebagai Pusat Latihan. Kawasan ini dikelilingi oleh bekas tapak-tapak perlombongan yang beroperasi sejak zaman penjajahan British yang mempunyai 26 buah banglo peninggalan Syarikat MMC dan 9 buah daripadanya telah digunakan oleh Pusat Latihan UiTM sebagai asrama, surau dan rumah tamu. Sementara beberapa buah banglo lain telah dijadikan pejabat pentadbiran dan dewan makan.
Kerja-kerja menaik taraf Pusat Latihan UiTM telah bermula pada 28 Februari 1997 dan siap pada 7 Ogos 1997. Dalam fasa naik taraf ini, kerja-kerja pengubahsuaian meliputi tempat penginapan peserta kursus, Dewan Seminar, makmal komputer dan Pejabat Polis Bantuan. Pembangunan Pusat Latihan ini bertambah rancak pada tahun 2001 dengan pembinaan Vila Wawasan. Vila Wawasan ini siap pada tahun 2002 dengan blok penginapan tiga tingkat yang mengandungi 56 buah bilik penginapan.
Dengan peningkatan kapasiti penggunaan Pusat Latihan untuk menjadi sebuah entiti perniagaan strategik, blok penginapan empat tingkat yang dinamakan Vila Perdana mula dibina pada bulan Mei 2009 dan siap pada bulan Disember 2010. Bangunan-bangunan lain yang turut siap pada ketika ini adalah blok pentadbiran dan dewan bankuet yang mula beroperasi pada bulan Mei 2011. Dewan bankuet ini telah menerima peserta-peserta daripada organisasi kerajaan dan swasta.
Penjenamaan semula Pusat Latihan UiTM Perak telah diadakan pada Januari 2014 kepada nama Institut Latihan Universiti dan pada Januari 2016 kepada nama Institut Kepimpinan dan Pembangunan (ILD) Perak yang berada di bawah pengurusan Penolong Naib Canselor.
Sehingga kini, Pusat latihan UiTM telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan ruang Latihan dalam (indoor) dan luar (outdoor), bangunan serta blok penginapan yang boleh digunakan dan disewa oleh organisasi kerajaan, swasta dan individu.
Sumber
- Berita ITM April 1995
- Menatar Ilmu Mencapai Impian : Pusat Latihan UiTM Kg. Gajah Perak, 2013.