Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Shah Alam sekali lagi mengukir sejarah dengan penganjuran Festival Budaya Ilmu 2025, yang dimulakan secara rasmi dalam satu majlis penuh berprestij di kampus induk Shah Alam. Majlis yang bertemakan Pembudayaan Ilmu Membina Peradaban Mulia itu menyatukan tokoh-tokoh sasterawan, pelajar serta rakan kolaborasi dalam satu acara gilang-gemilang yang menyemarakkan semangat keilmuan dan budaya intelektual universiti.
Majlis dimulakan dengan Bacaan Ayat Suci Al-Quran oleh Ustaz Haji Md Idris bin Abdullah, diikuti dengan bacaan doa oleh Saudara Mohammed Zulfiqar Husin bin Mohammed Zakir Husin, pelajar Program Plus Tahfiz dari Akademi Pengajian Bahasa, menandakan keberkatan dan doa restu terhadap keberlangsungan program.
Ucapan aluan telah disampaikan oleh YBrs. Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM, yang menekankan pentingnya perpustakaan sebagai nadi budaya ilmu dan pemeliharaan warisan ilmiah bangsa.
Majlis diteruskan dengan Ucapan Perasmian dan Pelancaran Sistem Perpustakaan PERMATA, oleh YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, FASc., Naib Canselor UiTM. Sistem PERMATA merupakan inovasi digital terkini dalam memudahkan akses maklumat dan memperkasakan ekosistem ilmu dalam kalangan warga kampus dan masyarakat luar.
Sebagai penghormatan terhadap sumbangan besar tokoh sastera negara, majlis turut menyaksikan penyampaian cenderamata kepada dua Sasterawan Negara, iaitu YBhg. Datuk Dr. Zurinah binti Hassan dan YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhamad bin Haji Salleh, yang banyak menyumbang kepada pembangunan budaya ilmu dan penulisan negara.
Dalam semangat menyemarakkan budaya ilmu dan kebajikan, majlis juga diwarnai dengan penyampaian sumbangan bahan wakaf kepada institusi dan individu berikut:
-
Encik Ariffin bin Jamaludin, Pengurus Perpustakaan Komuniti Al-Islah, Seksyen 7 Shah Alam, Selangor
-
Puan Nadia binti Azami, Guru Perpustakaan dan Media, SMK Seri Duyong, Melaka
-
Ustaz Ahmad Mustafa bin Khairuddin, Tenaga Pengajar Madrasah Nur Muhammad, Kelantan
Sebagai simbol penghargaan atas kolaborasi berterusan, cenderamata khas turut disampaikan kepada rakan kolaborasi strategik, antaranya:
-
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP)
-
IDE Research Centre
-
Kolej Kediaman Mawar
-
Kumpulan Media Karangkraf
-
Penerbit UiTM
-
CARE Institute, UiTM
-
Pusat Darah Negara
Majlis ini bukan sekadar simbolik perasmian, bahkan merupakan pencetus kepada gelombang baharu pembudayaan ilmu, penyelidikan serta pemeliharaan warisan intelektual negara yang berteraskan prinsip Kerajaan Madani dan Agenda Pemerkasaan Pendidikan Tinggi Negara.
Sumber:
Facebook Perpustakaan UiTM