Penubuhan Perpustakaan UiTM bermula dengan tertubuhya Dewan Latehan RIDA di Jalan Othman, Petaling Jaya pada 14 Februari 1957. Ia dikenali sebagai Perpustakaan RIDA, memuatkan bahan-bahan bacaan bagi Kursus Menyimpan Kira-Kira (Book Keeping), Perakaunan dan Kursus Persediaan bagi menduduki peperiksaan London Chamber of Commerce (LCC). Pada awal kewujudannya, seorang Matron Berbangsa Inggeris dipertanggungjawabkan untuk mengawasi perpustakaan tersebut dan segala pelaksanaan kerja perpustakaan hanya beroperasi di dalam sebuah bilik yang terletak di tingkat satu bangunan lama Bahagian Pentadbiran, Dewan Latehan RIDA.
Di Kampus Induk, Perpustakaan ITM telah disediakan dengan sebuah bangunan khas empat tingkat yang direka dan dibina mengikut spesifikasi perpustakaan akademik untuk menampung koleksi, ruang bacaan dan pelanggan. Perpustakaan ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua iaitu Tun Abdul Razak bin Hussien pada 29 Julai 1972. Nama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) diberi bersempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia tersebut.
Sumber :
- Sejarah Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM