Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia atau MEDEC (Malaysian Entrepreneurship Development Center) telah memulakan satu kursus khas untuk melatih kaum Bumiputra dalam bidang keusahawanan dan telah dilancarkan oleh YB. Datuk Lokman Musa, Pengarah ITM di Jalan Othman pada 7 Januari 1977. Dengan kerjasama pegawai-pegawai dari Urban Development Authority (UDA), Pusat Daya Pengeluaran (NPC) dan wakil-wakil dari sektor swasta, pusat ini (MEDEC) telah mengelolakan satu kursus intensif secara sambilan selama tiga bulan dipanggil Rancangan Pembangunan Usahawan (Entrepreneurial Development Programme (EDP)) dan seramai 27 orang peserta telah dipilih dari 90 orang pemohon.
Rancangan diperingkat pengenalan ini telah mendapat bantuan dari badan-badan berkanun, pihak swasta, institusi-institusi kewangan serta dari orang perseorangan yang cuba menitikberatkan sifat-sifat keusahawanan, perubahan & cara pemikiran dan daya usaha keusahawanan (Entrepreneurial Initiatives). EDP menawar pelbagai rancangan kursus mengikut kesesuaian pemohon seperti :-
- EDP untuk bakal usahawan selama 3 bulan separuh masa.
- EDP untuk bakal usahawan selama 2 bulan sepenuh masa.
- EDP hujung minggu selama 2 bulan untuk penuntut ITM
- EDP 1 bulan untuk bakal usahawan di kampus cawangan ITM iaitu di Sabah, Sarawak, Perlis dan Terengganu.
Hubungan kerjasama juga turut diwujudkan antara MEDEC dengan agensi-agensi lain untuk mendapatkan maklumat dari pengalaman pelatih serta percambahan buah fikiran lebih-lebih lagi dalam pembangunan, konsep pembentukan usahawan dan input dalam melatih peserta EDP. Antara agensi yang terlibat adalah :-
- MARA
- National Entrepreneurial Development Association (NERDA)
- National Productivity Corporation (NPC)
- Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan
Rujukan :
- Peristiwa-peristiwa penting Institut Teknologi MARA (1956 - 1980)
- Laporan Khas Entrepreneurship Development Center (MEDEC) 1975 – 1978
- Mesyuarat Majlis – Jawatankuasa Hal Ehwal Akademik (KK.JK.HEA 2/79)