Fakulti ini bermula pada tahun 1966, yang mana pada masa itu dikenali sebagai Kajian ASMEC iaitu singkatan bagi Actuarial Science, Statistics, Mathematics, Econometrics, and Cybernetics dan beroperasi di Kampus Dewan Latihan RIDA, Jalan Othman, Petaling Jaya. Ia mengendali program luaran untuk para pelajar menduduki peperiksaan Institute of Statisticians, United Kingdom dan Institute of Actuaries, United Kingdom. Pada tahun 1969, Kajian ASMEC mengorak langkah dengan menawarkan program dalaman pertamanya iaitu Diploma Sains Komputer. Dengan penawaran program diploma ini, Institut Teknologi MARA (ITM) menjadi institusi akademik pertama di Malaysia yang menawarkan program dalam bidang Sains Komputer. Sambutan bagi program dalaman pada ketika itu adalah lebih menggalakkan berbanding dengan program luaran. Pada tahun 1970, Kajian ASMEC berpindah ke Bangunan Menara di Kampus Shah Alam dan pada tahun 1974 pula, Kajian ASMEC dinamakan Kajian Sains Matematik dan Komputer (KSMK). Secara beransur-ansur program luaran digantikan dengan program diploma dalaman. Lulusan daripada program Diploma ini berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma Lanjutan yang setara dengan Ijazah Sarjana Muda. Diploma Lanjutan Statistik mula ditawarkan pada tahun 1980. Ini diikuti dengan penawaran program usaha sama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1985 iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Komputer) ITMUKM.
Pada bulan Jun 1996, fakulti ini mempunyai bangunan baharu sendiri yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur pengkomputeran dan perangkaian di Kampus Shah Alam. Pada tahun 1997, nama Kajian Sains Matematik dan Komputer (KSMK) ditukar kepada Fakulti Teknologi Maklumat dan Sains Kuantitatif (FTMSK). Pada tahun 2009, FTMSK bertukar nama kepada Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM). Program FSKM terus berkembang berikutan dengan penubuhan beberapa kampus di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). Program peringkat Diploma dan Sarjana Muda mula ditawarkan di tiga kampus iaitu di Kampus PFI Seremban 3, Tapah dan Jasin pada tahun 2012 dan di Kampus PFI Raub pada tahun 2015.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) ke-199 pada 18 Julai 2024 untuk meluluskan penstrukturan semula empat (4) kolej pengajian kepada Fakulti. Sehubungan itu, Universiti Teknologi MARA melaksanakan penstrukturan semula empat (4) kolej pengajian kepada Fakulti ini berkuat kuasa mulai 01 Mei 2025 melbatkan Fakulti Sains Maklumat sebagai entiti akademik yang baharu. Terdahulu, Fakulti Sains Maklumat bersama-sama Fakulti Komunikasi & Pengajian Media dan Fakulti Sains Komputer dan Matematik merupakan entiti akademik di dalam Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik pada tahun 2022.
