Sejarah Penubuhan

Asas penubuhan fakulti ini adalah bertujuan untuk melahirkan golongan professional dalam kalangan orang melayu dan bumiputera. Selari dengan kehendak tersebut maka program-program FSK UiTM telah diwujudkan seawal tahun 1996 dibawah Kajian Sains Gunaan yang kini dikenali sebagai Fakulti Sains Gunaan (FSG). Pada 1 Disember 2002, setelah penubuhan Fakulti Perubatan diluluskan oleh Kementerian Pendidikan, semua program Sains Kesihatan telah diserap ke dalam satu Fakulti yang dikenali sebagai Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan. Pada 15 Mac 2004, FSK dengan rasminya ditubuhkan dengan permulaan 6 program dan kini FSK mengendalikan 41 program di peringkat Diploma hingga ke peringkat Doktor Falsafah.

Program Pendidikan dan Perkhidmatan

FSK menawarkan program dan perkhidmatan yang merangkumi tiga elemen yang berteraskan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan kesihatan Demi melahirkan graduan yang professional dan mempunyai kemahiran dan kebolehpasaran yang tinggi, FSK menggunakan pendekatan penyampaian berdasarkan Outcome Based Education (OBE) selaras dengan keperluan Malaysian Qualification Framework (MQF). Selain penyampaian bersemuka di dalam kuliah dan makmal, kaedah pengajaran dan pembelajaran juga dilaksanakan secara blended learning melalui portal i-Learn bagi mempelbagaikan kaedah penyampaian ilmu kepada pelajar. Kesemua program yang ditawarkan telah mendapat akreditasi Malaysian Qualification Agency (MQA) dan dua daripadanya mendapat akreditasi antarabangsa. Selain itu terdapat tiga program di peringkat sarjana (kerja kursus) yang hanya ditawarkan oleh FSK UiTM iaitu program Sarjana Pengimejan Perubatan, Program Sarjana Fisioterapi (Muskuloskeletal) dan Program Sarjana Pemulihan Carakerja (kecacatan perkembangan). Disamping itu, selain dari memberikan perkhidmatan pelajaran sepenuh masa FSK turut memberikan perkhidmatan pelajaran secara pendidikan jarak jauh (e-PJJ). Profil Tenaga Kerja Komitmen dan pengembelingan tenaga kerja warga FSK seramai 224 tenaga kerja yang terdiri daripada 126 kakitangan akademik dan 98 kakitangan bukan akademik mencetus motivasi dalam mencapai kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan. Dengan mengamalkan moto FSK, FSK kekal kompeten dan mampu menyampaikan ilmu dan perkhidmatan dengan baik dalam melahirkan graduan Bumiputera yang profesional di samping berkebolehan menjalankan penyelidikan dan inovasi serta menganjurkan program khidmat masyarakat secara aktif.
 
Kini, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) berada di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam dan cawangan di UITM Cawangan Sarawak, Kampus Kota Semarahan serta Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam. 
 

Peneraju

Sejak penubuhannya, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah dipacu oleh barisan tokoh profesional yang berwibawa, berdedikasi serta berwawasan. Mereka bukan sahaja memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju fakulti, tetapi turut menyumbang besar dalam pembangunan pendidikan kesihatan di negara ini.

Nama Tempoh Berkhidmat
Profesor Dr. Sulong Ahmad bin Hj Kamaruddin Pengasas
Profesor Dr. Abdul Rahim bin Md Nor 2004 – 2010
Dr. Hamzah Fansuri bin Hassan 2010 – 2015
Kolonel (B) Dr. Amir Muhriz bin Abdul Latiff 2015 – 2019
Profesor Dr. Zulkhairi bin Hj Amom 2019 – 2025
Profesor Dr. Mohd Haidzir bin Abd Manaf 2025 – 2027
 
Fakulti Sains Kesihatan kini diterajui oleh Profesor Dr. Mohd. Haidzir Abd. Manaf sebagai Dekan Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025. Terdahulu, FSK diterajui oleh Profesor Dr. Zulkhairi Haji Amom bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2025.
 
Sumber :
1. Unit Arkib, Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Selangor
2. Laman web Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (https://fsk.uitm.edu.my/)