Lintasan Semarak di ITM Cawangan Pahang Kampus Jengka pada tahun 1993-1999.Kelihatan logo ITM ketika itu di bangunan utama.

Perancangan penubuhan Kampus Jengka pada dasarnya telah dikemukakan kepada kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga menurut Datuk Arshad Ayub, Pengarah ITM (Utusan Malaysia, 21 Februari 1975).

Menteri Besar Pahang YB Dato Seri Haji Khalil Yaakob memandu jentolak semasa Majlis Pecah Tanah Kampus Tetap ITM Pahang di Bandar Pusat ]engka pada 22 Ogos 1988.
Menteri Besar Pahang YB Dato Seri Haji Khalil Yaakob menurunkan tandatangan di buku pelawat sempena Majlis Pecah Tanah ITM Bandar Pusat Jengka, Pahang pada 22 Ogos 1988.

Kampus Jengka dibina melalui dua fasa iaitu yang pertama mampu memuatkan 2,500 orang pelajar dan fasa seterusnya yang lengkap dengan kemudahan infrastruktur mampu menempatkan 4,500 orang pelajar. Pembahagian kawasan tersebut adalah mengikut nisbah 60:40 iaitu 40% daripada kawasan tanah tersebut dijadikan kawasan untuk dibangunkan manakala 60% lagi dijadikan kawasan tujuan pertanian.

Kerja-kerja pembinaan bagi kampus tersebut bermula pada tahun 1988 namun tertangguh seketika ketika krisis ekonomi melanda dan akhirnya berjaya disiapkan pada tahun 1992. Proses pemindahan pelajar ITM Pahang dari Kuantan ke Jengka selesai pada tahun 1993 dan sekali gus telah mencipta satu era baru dalam sejarahnya sendiri. Sebahagian pelajar Kampus Kuantan telah dipindahkan ke Kampus Jengka, manakala sebahagian lagi dipindahkan ke ITM Shah Alam. Pada bulan Mei 1993, setelah proses pemindahan pelajar selesai, Kampus Jengka telah memulakan operasi dengan seramai 225 pelajar, 15 kakitangan dan 6 orang pensyarah.

Bangunan Pentadbiran ITM Pahang di Jengka siap dibina pada tahun 1992.

Kampus tersebut secara rasminya diiktiraf sebagai sebuah lagi cawangan ITM pada Ogos 1996 dan telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan pada masa itu, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak. Kehadiran Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak untuk merasmikan majlis tersebut amat bermakna apatah lagi apabila penubuhan ITM adalah merupakan hasil cetusan idea Allahyarham ayahanda beliau sendiri iaitu Tun Abdul Razak.

Dato Seri Najib Tun Abdul Razak ketika merasmikan ITM Kampus Jengka pada Ogos 1996.

Dalam ucapannya, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan tentang rancangan pengkorporatan ITM sebagai usaha untuk menjadi institusi terulung dalam bidang pendidikan. Menurut beliau, walaupun ITM hanya dikenali sebagai sebuah institusi pendidikan, namun keupayaannya dalam melahirkan graduan ijazah sarjana muda hingga ke doktor falsafah menjadikannya sebuah institut yang unik. Tambah beliau lagi, pembangunan yang ditunjukkan ITM menandakan jaminan terhadap maruah dan kedaulatan bangsa Melayu. Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak turut menyatakan bahawa pendidikan yang disediakan oleh ITM dapat diterima baik memandangkan graduan lepasan ITM sentiasa mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan. Ini merupakan hasil daripada pemfokusan penyelarasan dalam melahirkan graduan yang dapat memenuhi kehendak semasa.

Suasana Kampus Jengka kini.

Kampus Jengka telah berkembang dengan baik dengan terdapat hampir 2006 pelajar daripada Fakulti Perakaunan, Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Kejuruteraan pada tahun 2020. Bilangan pelajar pada tahun 2015 telah bertambah kepada hampir 3,322 orang dengan pertambahan satu fakulti lagi iaitu Fakulti Sains Komputer dan Matematik.

Pada tahun 2013 terdapat seramai 363 orang yang terdiri daripada pelbagai gred perkhidmatan, 324 orang pada tahun 2015 manakala pada tahun 2020 bilangan pensyarah telah bertambah kepada 371 orang. Bilangan kakitangan sokongan di Kampus Jengka pada tahun 2020 adalah 304 orang.

Pada tahun 2015, bilangan pelajar telah bertambah kepada 6,442 dengan pertambahan tiga fakulti iaitu Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi. Bilangan pelajar di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka terus bertambah kepada hampir 7,208 pada tahun 2015 manakala hanya hampir 4,709 orang pelajar mendaftar di Kampus Jengka pada tahun 2020.

Sebelum kampus Jengka, ITM Cawangan Pahang pernah berada di Kuantan untuk suatu tempoh. Sejarah ITM Cawangan Pahang di sini dan juga kampus terbaharu, Raub di sini.

Sumber :

  • Laman web UiTM Cawangan Pahang
  • Buku Melakar Peristiwa : Pengkisahan Sejarah Kampus-Kampus ITM - UiTM.2012. Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM.
  • ITM Mungkin Membuka Kampusnya Di Jengka. Utusan Malaysia (21 Februari 1975). Koleksi Bahagian Arkib Universiti, UiTM.

 

 

powered by social2s