Insitut Teknologi MARA Negeri Sembilan merupakan kampus yang terakhir dibina iaitu di daerah Kuala Pilah. Kampus Sementara ITM Negeri Sembilan mula beroperasi pada 01 Jun 1999 dengan mengambil alih Kompleks Pertanian Negeri Sembilan Timur, Kementerian Pertanian di Jalan Melang, Kuala Pilah. Pengambilan pertama pelajar sesi Jun 1999 ialah seramai 166 orang dengan hanya menawarkan Program Pra-Diploma Sains. Majlis pecah tanah kampus tetap UiTM Negeri Sembilan telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi pada 23 Ogos 2007 yang ketika itu Perdana Menteri ke-5. Pada tanggal 25 Mac 2010, UiTM Negeri Sembilan, kampus Kuala Pilah telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin.

Apabila kampus tetap di Beting mula beroperasi pada Jun 2009 di atas tanah seluar 400 ekar, kampus Melang tidak lagi digunakan. Walau demikian, mulai Jun 2010, kampus Melang dibuka semula untuk menampung lebihan pelajar dari kampus Beting. Selain dari bangunan pengajian, kampus Melang juga mempunyai 22 buah asrama yang merupakan bangunan rumah banglo. Setiap banglo boleh memuatkan 12 hingga 28 orang pelajar. Bidang pengajian yang ditawarkan pada ketika itu termasuklah 2 program ijazah sarjana muda, 5 program diploma dan satu program pra diploma sains dari Fakulti Sains Gunaan . Tidak terhad kepada program-program berasaskan sains sahaja, kampus ini juga menyediakan program Diploma Pengajian Perniagaan.

Kampus Seremban merupakan kampus UiTM Cawangan Negeri Sembilan kedua yang dibina. Pembinaannya bermula pada bulan Januari 2011 dan siap sepenuhnya pada bulan Januari 2014 dan boleh menampung 5,000 orang pelajar. Antara prasarana yang disediakan ialah Bangunan Pentadbiran, Bangunan Akademik, Pusat Pelajar, Surau, Dewan Makan, Kolej Kediaman pelajar lelaki dan perempuan, Pejabat Penyelenggaraan dan Polis Bantuan.

Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan membina kampus ketiga iaitu Kampus Rembau seluas 32.4 hektar ini dibina pada 26 Ogos 2013 dan siap sepenuhnya pada 25 Ogos 2016. Majlis serah kampus telah disempurnakan pada 5 Januari 2017 oleh Yang Berbahagia Prof. Dr. Abdul Rahman Omar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi. Secara rasminya Kampus Rembau telah beroperasi pada 1 Februari 2017 dengan hampir 800 pelajar dan staf bagi sesi kalendar akademik Mac-Julai 2017.

Kampus Rembau boleh menampung bilangan pelajarbagi sesi kalendar akademik Sep-Jan 2017/2018 dengan jumlah maksimum 3000 pelajar dan hampir 100 staf. Ia menempatkan tiga fakulti utama iaitu Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM) serta Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP). Selain kemudahan seperti Perpustakaan yang dapat menampung 900 orang pada satu-satu masa, Dewan Serbaguna, Dewan Biduanda dengan jumlah 1500 orang, cafeteria 350 orang, Bangunan asrama bagi lelaki dan wanita dengan kapasiti terkumpul seramai 1500 orang serta kemudahan lain seperti Pusat islam, Pusat Kesihatan dan Pusat Kegiatan Pelajar serta pelbagai kemudahan sukan.

Kampus Melang (1999)

Kampus Kuala Pilah (2010)

Kampus Seremban (2014)

Kampus Rembau (2016)

Sumber :

  1. Melakari Peristiwa Kampus-Kampus ITM – UiTM
  2. Kampus-kampus Cawangan Baharu UiTM – Mengubah Destini anak Bangsa
  3. Laman Sesawang UiTM Negeri Sembilan Kampus Rembau